Kerajaan Negeri Pahang Prihatin… Sentiasa Dengar Keluhan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Usaha menaik taraf klinik kesihatan di Pulau Tioman dan perancangan membina stadium mini di Rompin menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mendengar keluhan rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM3 juta telah disalurkan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Kampung Tekek bagi memudahkan wanita yang sarat mengandung bersalin di situ.

“Alhamdulilah, bagi wanita yang sarat mengandung di Pulau Tioman kini boleh bersalin di Klinik Kesihatan Kampung Tekek berikutan klinik tersebut telah dinaik taraf.

“Peruntukan sebanyak RM3 juta telah disalurkan bagi menaik taraf klinik tersebut. Sebelum ini penduduk kampung melahirkan di Klinik Kesihatan Mersing berikutan tiada pakar perubatan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Selain itu, Wan Rosdy turut berkongsi perancangan Kerajaan Negeri Pahang untuk membina sebuah stadium mini di Rompin bagi kemudahan anak muda melakukan aktiviti sukan dan riadah.

“Antara impian anak muda Rompin adalah memiliki sebuah stadium mini bagi kemudahan melakukan aktiviti sukan dan riadah. Membina sebuah stadium mini antara satu perancangan Kerajaan Negeri menambah baik fasiliti bagi meningkatkan aktiviti sukan dalam negeri ini.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja membina lampu limpah untuk memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bersukan siang dan malam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa beliau telah meninjau kerja-kerja yang sedang dijalankan bagi memastikan Kerajaan Negeri dapat memenuhi impian anak muda memiliki sebuah stadium mini.

“Saya sendiri telah meninjau kerja-kerja sedang giat dijalankan. Ini peringkat awal usaha Kerajaan Negeri bagi memenuhi impian murni anak muda Rompin memiliki sebuah stadium mini tercapai.

“Secara tidak langsung, padang ini akan menarik minat penganjur luar untuk datang ke Kuala Rompin sekaligus menaikkan aktiviti pelancongan serta merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“Saya berharap usaha ini dapat dimanfaat sepenuhnya oleh penduduk di kawasan Pulau Tioman dan Rompin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.