Akta Anti Lompat Parti: Tiada Lagi Istilah ‘Kerajaan Tebuk Atap’ Atau ‘Pintu Belakang’

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Rakyat mengharapkan satu kerajaan yang stabil wujud selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dan tiada lagi istilah ‘kerajaan tebuk atap’ selepas Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, Perikatan Nasional (PN) sedang menjalankan satu usaha untuk meruntuhkan kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan mereka menjadi kerajaan.

“Pada 4 Disember, portal MalaysiaKini melaporkan bahawa Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendakwa satu usaha sedang dibuat untuk memastikan Perikatan Nasional menjadi kerajaan dalam satu sidang media di Padang Serai, semalam.

“Beliau juga dilaporkan memberi gambaran betapa kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama. Usaha sedang dibuat supaya kabinet ini tidak tahan lama serta PN akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kerajaan yang dipimpin Anwar pada masa ini mempunyai sokongan 148 orang ahli Parlimen sekaligus akan mewujudkan kerajaan yang stabil untuk rakyat.

“Kerajaan yang dipimpin Anwar pada masa ini terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pihak lain dengan sokongan 148 ahli parlimen. Angka ini pasti berjaya mewujudkan satu kerajaan Malaysia yang stabil.

“Di sini, jelas ramai yang masih belum faham termasuk dari kalangan sendiri akan kandungan pindaan perlembagaan dan satu akta yang mereka gubal sebelum PRU ke-15 yang membawa larangan lompat parti dan akuan berkanun (SD) tidak mempunyai nilai lagi,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pengumuman pimpinan tertinggi PN bahawa mereka telah mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan kerana mendapat sokongan sepuluh ahli Parlimen BN adalah tidak sah setelah Akta Anti Lompat Parti berkuatkuasa.

“Rakyat terkejut, sebaik sahaja keputusan PRU ke-15 diumumkan, tiada satu parti yang mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan dan lebih menarik lagi, dua parti yang mendapat kemenangan tertinggi iaitu PH dan PN tidak boleh membentuk kerajaan tanpa kerjasama secara blok dengan BN.

“Tiba-tiba Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengumumkan telah cukup majoriti bagi membentuk kerajaan. Pimpinan tertinggi PN pula setelah itu memaklumkan sepuluh ahli parlimen BN telah memberi SD menyokong pemimpin PN menjadi Perdana Menteri.

“Namun, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memilih Anwar sebagai Perdana Menteri berdasarkan kuasa yang ada oleh Baginda dan SD sepuluh ahli Parlimen BN tidak lagi diterima pakai setelah pindaan perlembagaan dan akta berkaitan anti lompat parti berkuat kuasa,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.