Ketepikan Perbezaan Politik, Realisasikan Kerajaan Perpaduan Demi Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah dan perbezaan politik harus diketepikan bagi merealisasi kerajaan perpaduan yang sebenar demi kepentingan rakyat.

“Kita memberikan keutamaan kepada rakyat, untuk mewujudkan kestabilan pada negara bagi menggamit semula pelabur asing untuk masuk ke negara ini dan menggalakkan DDI (pelaburan langsung domestik),” kata beliau kepada pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Jemaah Menteri daripada Barisan Nasional (BN) yang dilantik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan mampu memantapkan sistem pentadbiran dan pengurusan negara.

Beliau berkata, wakil BN berpengalaman luas dan mampu menggalas tanggungjawab serta mudah berasimiliasi dengan dasar kerajaan yang akan dilaksanakan.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama 26 menteri lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada istiadat itu. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan beliau disifatkan sebagai satu sejarah dan pengiktirafan besar kerana buat pertama kalinya wakil dari Borneo dilantik ke jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, ia membuka peluang yang lebih besar untuk memperkasa usaha merealisasikan segala intipati yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

MA63, kata beliau, menjadi antara agenda utama yang akan beliau selesaikan secepat mungkin malah perkara berkaitan perjanjian itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri.

Mengulas mengenai perancangan beliau bagi pembangunan Sabah dan Sarawak, Fadillah berkata komitmen penuh akan diberi bagi memastikan jurang pembangunan antara wilayah dikurangkan meliputi pelbagai aspek termasuk pembangunan sosial dan ekonomi rakyat.

“Insya-ALLAH itu yang menjadi harapan saya untuk merapatkan jurang antara tiga wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.