Belanjawan Johor 2023 Catat Lebihan RM2.44 juta

ISKANDAR PUTERI, 1 Dis – Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2023 yang merupakan belanjawan lebihan RM2.44 juta selepas dua tahun berturut-turut mempersembahkan belanjawan defisit pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Kali terakhir kerajaan Johor membentangkan belanjawan lebihan ialah Belanjawan 2020 pada November 2019.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hasil negeri pada tahun hadapan dijangka kira-kira RM1,734.18 juta dengan unjuran perbelanjaan negeri pada tahun 2023 ialah kira-kira RM1,731.74 juta, yang kemudiannya mencatatkan lebihan sebanyak RM2.44 juta.

Membentangkan Belanjawan 2023 buat kali pertama, beliau berkata anggaran hasil pada tahun hadapan dijangka meningkat sebanyak 3.75 peratus manakala perbelanjaan mengurus bagi tempoh yang sama menurun sebanyak 11.56 peratus.

Onn Hafiz berkata belanjawan tersebut yang bertemakan “Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat” disifatkan sebagai satu kesinambungan perjuangan yang memartabatkan pertumbuhan ekonomi Johor yang gemilang.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, saya akan perincikan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Johor 2023 ini yang bertujuan untuk mengurangkan impak ekonomi global serta memastikan sasaran pertumbuhan dapat dipacu yang insya-Allah akan mempertingkatkan kesejahteraan Bangsa Johor,” kata beliau ketika berucap pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2023) Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata perbelanjaan negeri tahun hadapan terdiri daripada perbelanjaan pembangunan sebanyak RM600 juta manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.126 bilion.

“Belanjawan Johor 2023 ini dirangka dengan 3.8 juta rakyat Johor sentiasa berada di hati dan benak fikiran kerajaan negeri Johor. Suara hati, jiwa dan minda mereka kita selami bersama keadaan dan situasi semasa maka lahirlah Belanjawan Johor 2023 ini.

“Kita berada dalam keadaan ekonomi yang mencabar (tahun hapadan). Apa yang penting adalah kita perlu menyediakan perancangan ekonomi yang mampan, berdaya tahan serta reserve simpanan yang mencukupi bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang,” kata beliau tambahnya ekonomi Malaysia pastinya tidak terkecuali daripada berhadapan dengan impak yang sama.

Meskipun negara berada dalam fasa pemulihan, ketidaktentuan ekonomi global ini tentunya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk negeri Johor yang berekonomi terbuka, kata Onn Hafiz. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.