Ismail Sabri Tegaskan Dakwaan Perbelanjaan Negara Tidak Direkod Tidak Benar

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Naib Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022 adalah tidak benar.

Katanya, semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Berhubung dengan komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun Kerajaan dari tahun 2020 – 2022, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan Kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian mengulas dakwaan seorang pengguna Twitter kononnya perbelanjaan berjumlah RM620 bilion bermula tahun 2020 hingga 2022 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkod.

“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion yang mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).

“Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telah pun diluluskan Parlimen sebulat suara,” katanya.
Ismail Sabri menerajui pentadbiran kerajaan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 23 Ogos tahun lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.