Tolak Saranan Yang Agong… Muhyidin Angkuh – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan merasa terkejut dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyidin Yassin bahawa beliau menolak saranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDP) untuk sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk melalui gabungan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Dilaporkan, Pengerusi PN itu berkata demikian dalam satu sidang media seusai sesi menghadap YDP di Istana Negara baru-baru ini.

“Beliau seolah-olah langsung tidak mahu mempertimbangkan saranan baik Seri Paduka Baginda yang bersungguh-sungguh mahukan situasi ‘Parlimen Tergantung’ (Hung Parliament) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 baru-baru ini tamat segera dan menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan bagi kelangsungan pentadbiran negara dan kebajikan rakyat.

“Pemuda UMNO Malaysia berpendapat kenyataan sedemikian amat kurang ajar dan tidak menghormati Seri Paduka Baginda yang memayungi negara selama ini. Saranan baik Seri Paduka Baginda seharusnya diperhalusi dan dipertimbang sebaiknya terlebih dahulu diantara PH dan PN sebelum pendekatan lain digunakan bagi menyelesaikan kemelut semasa politik tanah air ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Hasmuni lagi, tingkah laku yang dilakukan oleh Pengerusi PN ini jelas telah bercanggah dengan nilai perjuangan parti tersebut.

“Perlakuan ini jelas bercanggah dengan nilai dan perjuangan sebuah parti politik Nasionalis Melayu yang mempertahankan dan mengangkat Institusi Raja-raja Melayu serta resmi orang Melayu yang penuh adab dan kesusilaan.

“Justeru, Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan rasa kecewa dengan sikap angkuh dan sombong Presiden parti PPBM ini semata-mata demi mengejar kuasa dan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri yang ke-10.

“Perlakuan angkuh seperti ini harus ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu yang amat menghormati Institusi Raja-raja Melayu kita,” ujarnya.

Pada PRU lalu tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah untuk menjadikan sebuah kerajaan dan YDP mencadangkan gabungan itu membentuk sebuah kerajaan perpaduan dengan PH. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.