RUU Anti Lompat Parti Legasi Besar UMNO/BN Junjung Tinggi Martabat Sistem Demokrasi Negara

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) memainkan peranan tersendiri dalam mendokong pembaharuan sistem demokrasi negara.

Katanya ini termasuk kepentingan penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti bagi menunjang nilai-nilai demokrasi di negara ini khususnya di Selangor.

“Pindaan ini adalah selari dengan Seksyen 6, Akta A1663, untuk memastikan keseragaman daripada segi peruntukan dan fungsi undang-undang dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah dibentangkan oleh kerajaan Persekutuan di Parlimen pada bulan Julai yang lalu.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk memanjangkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kerajaan Keluarga Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri kesembilan UMNO/BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah merealisasikan pembaharuan sistem demokrasi Malaysia di peringkat Persekutuan.

“Sesungguhnya, ini adalah legasi besar UMNO dan BN, dalam memastikan maruah dan nilai moral ahli-ahli politik di negara ini, menjadi prinsip utama di dalam menjunjung tinggi martabat sistem demokrasi serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata melihat kepada implikasi besar lompat parti yang terkait dengan pengkhianatan kepada mandat ianya perlu diwartakan segera sebelum pembubaran DUN bagi Pilihan Raya Negeri pada tahun hadapan.

“Kesan pengkhianatan kepada mandat dan kepercayaan rakyat, sehingga mengancam kestabilan politik dan menyebabkan ketidaktentuan kepada negara, saya menyokong penuh pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor (Pindaan 2022) oleh Menteri Besar pada 23 November 2022 (Rabu).

“Selaku Ketua Pembangkang dan wakil rakyat bagi Sungai Air Tawar, saya turut membahaskan RUU ini dan menyokong penuh pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor ke atas Bab 5 Bahagian Kedua, yang bakal menyaksikan pemotongan Fasal 5 Perkara 64 dan menambahperuntukan baharu, Perkara 65A, yang ditambah selepas Perkara 65.

“Saya juga menzahirkan harapan agar kerajaan negeri Selangor memastikan RUU ini dapat diwartakan segera sebelum pembubaran DUN,” ujar Rizam dalam kenyataan media berhubung pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor Bagi Penguatkasaan Anti Lompat Parti kepada ahli Dewan Negeri Selangor. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.