Jangan Keruhkan Keadaan, Doakan Yang Terbaik Untuk Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak untuk tidak mengeruhkan keadaan apatah lagi apabila negara sedang berhadapan dengan situasi politik sukar.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid turut melampirkan kenyataan media palsu yang telah tular selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam.

“Mohon jangan dikeruhkan lagi keadaan. Surat yang telah tersebar seperti berikut adalah palsu dan rekaan manusia yang tidak bertanggungjawab.

“Mohon doakan yang terbaik untuk dalam keadaan sekarang ini,” katanya.

Antara intipati yang terkandung dalam kenyataan media palsu itu adalah keputusan telah dicapai untuk menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan dan perletakan jawatan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO serta Pengerusi BN.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan pendirian BN bahawa mereka akan kekal sebagai pembangkang dan tidak akan menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pada pagi ini tiga pimpinan tertinggi BN iaitu Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.