Tolak, Halang Peristiwa Langkah Sheraton Yang Wujudkan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ – Razlan

KUALA LUMPUR, 22 Nov – “Kita harus menolak dan menghalang sekali lagi peristiwa Langkah Sheraton yang mewujudkan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ yang sedang bergerak hebat dengan secara senyap dilakukan diperingkat bawah ini.”

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii menerusi kenyataan yang memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong berikutan perkembangan politik terkini.

“Negara Malaysia telah melalui pelbagai konflik disebabkan angkara Ahli Parlimen yang bertindak membelakangi parti yang mereka sendiri wakili. Disebabkan itu, wajar dan tepat langkah Parlimen membuat keputusan untuk mengubal undang-undang Anti Lompat Parti agar tiada lagi peristiwa seperti lompat melompat ini terjadi.

“Pentafsiran undang-undang ini terus menjadi konflik sekali lagi apabila ada pandangan dan pakar-pakar perundangan yang mentafsirkan SD diperlukan oleh setiap Ahli Parlimen untuk menyokong Ketua Kerajaan yang bakal dilantik.”

Katanya, pemahaman rakyat, apabila adanya Akta ini, setiap Ahli Parlimen tertakluk untuk akur kepada Parti yang mereka wakili, tiada lagi agenda dan perbincangan secara sulit dibelakang tabir yang akan mengugat kestabilan dengan kewujudan kerajaan ataupun ketua Kerajaan.

“Ahli Politik dipandang keji dan hina kerana terpalit dengan pertimbangan individu membuat keputusan demi kepentingan pihak tertentu dan bukan kepada konsep kepartian yang diamalkan dalam sesebuah kesatuan.

“Patik menyeru agar semangat dan objektif undang-undang dan akta anti lompat parti ini wajib dijunjung dengan penuh ikhlas dan penuh kesucian hati demi kestabilan politik negara,” katanya lagi yang mengharapkan perkenan daripada Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu lalu menjadi saingan paling sengit pernah berlaku dengan keputusannya tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Daripada 220 kerusi dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.