Surat Sumpah Digunakan Rebut Kuasa – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pemerhati politik dan pengamal undang-undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menzahirkan kebimbangan berkaitan penggunaan surat akuan berkanun (SD) bagi membentuk kerajaan. 

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak membenarkan penggunaan SD sedemikian dalam pembentukan kerajaan.

“Janganlah… ‘don’t entertain this back door government’ kerana kita telah bersusah payah mengalami pengalaman ‘Sheraton’.” 

Beliau berkata ini penting kerana ahli Parlimen telah bersusah payah menggubal malah meminda perlembagaan untuk memastikan parti, ahli-ahli Parlimen mengikut arahan dan keputusan parti.

“Sebab itulah saya beberapa kali menyatakan jangan guna Statutory Declaration (SD)… kerana SD ini ada kesahihannya.

“Kita tidak boleh benarkan mereka yang melanggar arahan parti dan membuat keputusan sendiri dalam soal sepenting ini iaitu soal penubuhan kerajaan.

“Kalau terima SD macam ini maka sia-sia usaha selama ini. Usaha gubal undang-undang anti lompat, usaha untuk memperkemaskan demokrasi di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengharapkan pihak Istana Negara dapat memberikan peranan yang sewajarnya.

“Saya harap pihak Istana Negara mainlah peranan yang sepatutnya. Jangan digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengambil alih kerajaan yang tidak wajar bagi mereka mengambil alih kerana mereka tidak dapat majoriti,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama kata Zaid lagi, beliau merasa bimbang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa SD menyatakan ahli Parlimen UMNO menyokong parti tersebut.

“Saya bimbang Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa surat sumpah yang menyatakan ahli Parlimen menyokong beliau. Katanya satu tapi saya merasa ada 10 dan mereka ini dari parti UMNO dan ahli Parlimen UMNO yang belot.

“Saya harap pihak-pihak yang terlibat khususnya UMNO… buatlah kenyataan kepada DYMM Tuanku kalau betul-betul 10 orang ini telah melanggar arahan parti, keputusan parti dan beritahu pada Istana supaya tidak menerima surat sumpah (SD) ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.