Sangat Penting Untuk Pilih Parti Yang Mampu Bawa Kestabilan, Kemakmuran

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata esok adalah saat yang penting bagi rakyat di negara ini yang akan memilih sebuah kerajaan yang baharu memandu Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ujar Ketua Wanita UMNO itu, selepas berada dalam ketidaktentuan sejak beberapa tahun yang lalu, Malaysia memerlukan satu permulaan yang baharu.

“Sangat penting untuk kita memilih sebuah parti yang mampu memberi kestabilan serta kemakmuran pada negara sekaligus mengembalikan Malaysia yang asal.

“BN mempunyai agenda dan perancangan yang jelas untuk memulih dan memacu semula Malaysia, kembali menjadi sebuah negara yang disegani. Semuanya terkandung di dalam Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN, inilah iltizam kami,” katanya yang juga calon BN bagi Parlimen Parit Sulong dalam video perutusan menjelang hari pengundian esok.

Seterusnya, Noraini yang mempertahankan kerusi Parlimen tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang bersama-sama menyokong sepanjang perkhidmatannya dan berharap kembali mendapat kepercayaan.

“Kepada semua pengundi di Parlimen Parit Sulong terima kasih banyak. Banyak kejayaan yang telah kita raih bersama. Antara yang boleh saya di sini adalah peruntukan yang dibawa saya semasa saya menjadi ahli Parlimen antaranya adalah pasar awam Batu Pahat, pembinaan dewan di sekitar Parlimen Parit Sulong. Kita juga ada pusat Permata Negara yang terletak di Parit Guntong.

“Antara projek lain adalah RM30 juta yang telah diluluskan dan diperuntukkan untuk pembinaan dan pengurusan masjid dan surau, RM27 juta projek membina jalan raya baharu, RM18 juta adalah untuk pembinaan mini halal hub di Separap, RM20 juta untuk pusat pengumpulan PKS Benteng Peserai. Itu tidak termasuk RM22 juta pembinaan u-Shape Peserai-Semerah. Ini antara contoh-contoh projek dan banyak lagi yang telah dilaksanakan.

“Begitu juga dengan soal pendidikan anak-anak lebih RM25 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan dan sumbangan kepada semua sekolah dan usaha ini insya-Allah tidak terhenti di sini. Baru-baru ini saya telah menyempurnakan majlis pecah tanah Kolej Komuniti Parit Sulong yang lebih bernilai RM30 juta. Saya percaya pendidikan ini sangat penting kerana ia pelaburan demi masa depan,” ujarnya lagi.

Begitu juga katanya banyak yang telah dicapai dan banyak lagi yang mampu dilakukan bersama-sama, insya-Allah.

“Maka dengan rendah hati saya menyeru sokongan, doa daripada semua warga Parlimen Parit Sulong untuk saya meneruskan khidmat bakti saya.

“Undilah kestabilan, undilah kemakmuran dan jangan lupa untuk undi calon nombor satu BN di Parlimen Parit Sulong, saya Noraini Ahmad,” serunya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.