Rafizi Tidak Wajar Ugut Dan Menjatuhkan Kredibiliti Penjawat Awam – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 17 Nov – Tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atas penyiasatan syarikat miliknya adalah tidak wajar dan sepatutnya diberikan perhatian.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kenyataan berbaur ancaman serta ugutan tersebut seolah-olah menidakkan tanggungjawab penjawat awam untuk menjalankan tugas dan menjatuhkan integriti mereka.

“Pada 16 November 2022 yang lalu, Timbalan Presiden PKR telah mengeluarkan satu kenyataan dalam sesi ceramah terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM atas tindakan mereka menjalankan siasatan terhadap syarikat milikan Rafizi iaitu Invoke Solution Sdn Bhd. Ini adalah satu perkara yang tidak wajar dan sepatutnya diberi perhatian oleh semua pihak.

“Kenyataan berbaur ancaman serta ugutan yang dikeluarkan oleh Rafizi Ramli kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki seolah-olah menidakkan tanggungjawab penjawat awam untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan di samping menjatuhkan martabat integriti penjawat awam.

“Tambahan pula, siasatan yang dilakukan oleh SPRM terhadap Rafizi Ramli adalah atas dasar laporan yang telah mereka terima daripada orang awam,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau yang juga Bendahari UMNO itu berpendapat, kenyataan Rafizi turut berbaur seperti wujudnya matlamat untuk menyalahgunakan kuasa dengan mengambil tindakan terhadap penjawat awam sekiranya Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Perkara ini perlu dipandang serius kerana seharusnya mana mana pihak yang melakukan kesalahan terutama sekali yang bertentangan dengan Kanun Keseksaan atau Akta SPRM perlulah disiasat tanpa perlu melihat pendirian mereka di dalam mana mana parti politik.

“Ugutan dan ancaman ini bererti mana-mana sahaja individu PH yang disiasat oleh SPRM selepas ini adalah satu kesalahan dan penjawat awam tersebut perlu dihukum,” katanya lagi.

Tambah beliau, SPRM menjalankan siasatan terhadap Rafizi disebabkan pengisytiharan harta yang telah dilakukan olehnya sendiri dan tanpa paksaan.

“SPRM menjalankan siasatan terhadapnya disebabkan oleh pengisytiharan harta yang telah dilakukan sendiri oleh Rafizi tanpa paksaan daripada mana mana pihak. Sewajarnya, Rafizi bersifat lebih terbuka dan berani untuk siasatan dilakukan terhadap perolehan asetnya kerana itulah tujuan kenapa pengisytiharan harta dilakukan di peringkat yang pertama. Sekiranya wujud keraguan, SPRM akan menjalankan fungsinya untuk mendapatkan kebenaran dan kesahihan.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana tindakan Rafizi Ramli mengugut dan mengancam penjawat awam bukan sahaja mendatangkan kesukaran terhadap penjawat awam menjalankan fungsi yang telah diberikan, sebaliknya SPRM akan digunakan sebagai alat untuk memenuhi keperluan dan kepentingan PH sahaja sekiranya mereka berpeluang menjadi kerajaan.

“Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tindakan ini perlu ditentang habis-habisan supaya tidak wujud budaya penyalahgunaan kuasa pada masa akan datang,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan bahawa Timbalan Presiden PKR itu berang dengan serbuan SPRM ke atas syarikat miliknya iaitu Invoke Solutions Sdn Bhd dan memberikan amaran untuk ‘mencari’ Azam Baki sekiranya PH menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Terdahulu, calon PKR Kerusi Parlimen Pandan itu tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta yang asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, sebuah syarikat tinjauan awam diasaskannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.