Jadikan PRU14 Pengajaran, PH Perbodohkan Rakyat – Maslin Sham

KUALA KANGSAR, 17 Nov – Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar Datuk Maslin Sham Razman mengingatkan rakyat khususnya pengundi muda agar jadikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai pengajaran.

Ini kerana katanya, sudah terang lagi bersuluh Pakatan Harapan (PH) hanya berjanji kosong kerana setelah menjadi kerajaan mereka gagal tunaikan segala janji malah hingga ke tahap memperbodoh-bodohkan rakyat.

“Sudah terang lagi bersuluh apa yang dijanjikan oleh PH pada pilihan raya yang lepas semata-mata janji kosong. …apa yang kita lihat hari ini telahpun terbukti bahawa PH memang langsung tidak dapat menepati janji termasuklah PTPN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang betul-betul penipuan secara langsung dan memperbodohkan pengundi-pengundi kita.

“Jadi kita amat berharap ia sebagai satu pengajaran khususnya pengundi-pengundi muda yang mana tak semua janji yang mereka buat itu dapat ditepati dan sudah tentulah janji-janji yang tidak masuk akal itu memang mustahil untuk dilaksanakan. Jadi, hati-hatilah dengan dakyah dengan parti-parti lawan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, ini jelas berbeza dengan BN yang berpengalaman mentadbir lebih 60 tahun dengan trek rekod sentiasa mengotakan janji.

“Kita janjikan kestabilan, kita janjikan kemakmuran. Kita menjanjikan manifesto iaitu akuan BN kepada rakyat bahawa inilah garis panduan yang realistik yang boleh kita gapai kerana satu janji yang kita tidak dapat penuhi tidak wajar untuk kita janjikan.

“Jadi, insya-Allah trek rekod BN amat baik, lebih 60 tahun menjadi kerajaan,” ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan itu lagi.

Bidasnya lagi, PH dan Perikatan Nasional (PN) telah pun diberi peluang untuk mengurus tadbir negara tetapi ternyata mereka gagal.

“Mereka telah diberi peluang tetapi hanya dapat bertahan 22 bulan dan satu lagi pihak 17 bulan.

“Sudah tentulah hari ini rakyat boleh membandingkan siapakah yang lebih baik dan siapakah yang lebih menyampaikan kepada rakyat apa yang telah dijanji insya-Allah BN akan terus mengotakan janjinya,” katanya lagi.

Pada PRU15, BN tampil dengan manifestonya Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan sepuluh teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia yang komprehensif dan mencakupi semua lapisan masyarakat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melancarkan PADU pada 7 Nov lalu menekankan bahawa ia adalah tawaran baharu yang segar atau ‘a new and fresh deal’ daripada BN kepada rakyat Malaysia, bukan janji-janji manis sebaliknya ia adalah pelan yang serius dan rasional.

Antara komitmen BN adalah memperkenalkan konsep baru ‘Assistive Basic Income’ bagi menampung pendapatan isi rumah di bawah RM2,208 sebulan sekaligus menghapuskan kemiskinan mutlak.

Begitu juga pendidikan percuma di peringkat tinggi untuk B40 serta jaminan pendidikan awal kanak-kanak dan asuhan percuma turut disediakan.– UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.