PRU15: PN Berada Dalam Keadaan ‘Retak Menanti Belah’ – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai kesediaan parti itu untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) jika perlu untuk membentuk kerajaan menunjukkan bahawa Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan ‘retak menanti belah’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kenyataan tersebut jelas membuktikan bahawa Pas sudah tidak lagi yakin dengan keupayaan PPBM untuk memacu PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Bagi saya ini adalah satu perkembangan yang menarik kerana saya percaya dan merasakan bahawa keruntuhan sedang berlaku di barisan PN itu sendiri. Hubungan antara Pas dengan PN sudah sampai peringkat ‘retak menanti belah’.

“Sepertinya Pas sudah tidak yakin lagi keupayaan PPBM untuk memacu PN dalam PRU ke-15 ini. Sebab yang saya boleh beritahu, kemungkinan besar pucuk-pucuk pimpinan mereka (PPBM) akan kecundang,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn hari ini.

Menurutnya, tindakan Pas menggunakan logo mereka di beberapa buah negeri juga menjadi antara persiapan mereka untuk keluar daripada PN sekiranya perlu bergabung dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.

“Kita juga sudah melihat bahawa Pas mengatur strateginya dengan menggunakan logo mereka sendiri Kelantan dan Terengganu. Tetapi di negeri-negeri lain meskipun mereka kuat di Kedah, mereka tidak menggunakan logo Pas, sebaliknya menggunakan logo PN.

“Ini adalah persiapan mereka untuk keluar daripada PN sekiranya perlu untuk mengadakan gabungan dengan parti-parti lain. Jadi, ini juga adalah satu perkembangan yang kita kita bagaimana Pas ingin keluar daripada terikat dengan PN kerana sudah bertanding atas logo yang lain di beberapa buah negeri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery mengingatkan para pengundi yang tidak menyukai Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membazirkan undi mereka dengan mengundi PN sebaliknya memilih BN bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Jadi, peringatan kepada pengundi-pengundi yang mahu membuang undi tetapi tidak menyokong PH, jangan bazirkan undi anda dengan memilih PN sebagai alternatif. Marilah kita bersama-sama berikan kekuatan kepada BN.

“PN sudah berada dalam keadaan yang ‘retak menanti belah’ dan ‘runtuh’. Maka, janganlah membazirkan undi kepada PN, sebaliknya berikanlah sokongan kepada BN untuk membentuk sebuah kerajaan kuat dan stabil untuk rakyat semua,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan parti itu akan bergabung dengan BN pasca PRU ke-15 jika mereka tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak memberikan mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.