Kenyataan Takiyuddin Jelas Buktikan PN Tidak Mampu Bentuk Kerajaan – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mungkin bergabung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan bahawa gabungan mereka tidak mampu untuk membentuk kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kenyataan tersebut sekaligus menafikan dakwaan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menyatakan mereka sudah mendapat dua pertiga majoriti.

“Bagi saya ada dua perkara yang kita boleh ambil daripada kenyataan ini. Pertamanya, ia sekaligus menafikan dakwaan Azmin yang menyatakan PN sudah dapat dua pertiga. Setiausaha Agung Pas juga telah tahu bahawa mereka tidak mampu untuk membentuk kerajaan dan terpaksa bergantung kepada parti lain.

“Tetapi yang saya rasa paling serius, pihak mereka sekarang ini sudah tahu kemungkinan bahawa pemimpin-pemimpin PPBM akan berhadapan dengan jalan sukar apabila di Pagoh sendiri, Tan Sri Muhyiddin besar kemungkinan akan kalah kerana pengundi Cina di sana akan tetap menyokong Pakatan Harapan (PH) atau BN,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Menurut beliau, beberapa pimpinan tertinggi PN yang lain juga berhadapan dengan situasi yang seakan-akan sama sehinggakan Pas menyedari bahawa mereka bergantung dengan parti yang akan kehilangan banyak pemimpin mereka.

“Pemimpin-pemimpin PN daripada PPBM semua berhadapan jalan sukar. Ini termasuk Faizal Azumu di Tambun, Naib Presiden mereka yang lain seperti Radzi Jidin di Putrajaya dan Ronald Kiandee di Beluran. Pas sekarang ini menyedari bahawa mereka bergantung kepada parti yang besar kemungkinan akan hilang banyak pemimpin-pemimpin besar mereka.

“Pas sendiri tidak mampu menamakan seorang pemimpin mereka yang layak atau mempunyai kekuatan untuk menjadi Perdana Menteri. Maka terpaksalah dia bergantung kepada parti lain dan cuba untuk ‘memancing’ BN. Sehingga sekarang kita katakan BN tidak ketandusan pemimpin dan mereka berada dalam keadaan yang Insya-Allah saya rasakan selesa di kawasan yang selamat,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Shabery lagi, Pas berada dalam situasi dilema dan cuba untuk ‘menumpang’ BN bagi merealisasikan impian mereka dalam membentuk kerajaan.

“Pas sekarang ini sedang dalam dilema kerana mereka bergantung kepada personaliti daripada PPBM yang berhadapan jalan sukar dan mungkin kalah di kesemua kawasan mereka tandingi.

“Sebab itu kami lihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas cuba ‘memancing’ kerana mereka terpaksa mencari tokoh-tokoh yang datangnya daripada BN untuk menumpang kerajaan yang dapat dihasilkan oleh selepas pilihan raya ini.

“Saya nasihatkan elok sekiranya pemimpin Pas daripada Presidennya, Timbalan, Setiausaha Agung ‘pakat’ ramai-ramai pergi ke Pagoh sekarang ini. Bantulah Pagoh dan baru mereka boleh bercakap tentang menubuhkan kerajaan. ‘Pakatlah’ ramai-ramai pergi ke Pagoh sekarang ini. Pagoh berada dalam keadaan yang sangat getir kepada PN itu sendiri,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain terutamanya BN selepas PRU ke-15.

Kenyataan ini sekaligus menunjukkan bahawa PN berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga Takiyuddin mendahului keputusan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sudah tidak yakin kepada beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.