Mohd Ridhwan Optimis Jadikan Hang Tuah Jaya Pusat Pentadbiran Dan Kawasan Industri

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali optimis untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat pentadbiran dan kawasan industri sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jelasnya, dalam usaha memakmurkan lagi kawasan tersebut, beliau ingin menarik lebih banyak pelabur luar untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan buat anak-anak muda di Hang Tuah Jaya dan orang Melaka amnya.

“Jika UMNO/BN diberikan peluang, insya-Allah kita ingin memastikan Hang Tuah Jaya menjadi sebagai antara salah satu pintu masuk dan juga pusat pentadbiran kerajaan negeri serta kawasan industri.

“Kita ingin memakmurkan lagi ekonomi di kawasan ini dengan menarik lebih banyak pelabur luar untuk mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dan orang Melaka.

“Sudah pastinya anak Melaka tidak perlu lagi keluar ke negeri lain untuk mendapatkan sumber pendapatan tinggi dan Insya-Allah, saya percaya ini akan memakmurkan lagi ekonomi negeri Melaka melalui peranan yang dilakukan oleh Parlimen Hang Tuah Jaya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mohd Ridhwan, sekiranya BN diberikan mandat untuk membentuk kerajaan di Putrajaya, masalah yang dihadapi oleh pemain industri di kawasan sekitar Hang Tuah Jaya akan dilihat dan ditambah baik demi memastikan kelangsungan ekonomi.

“Situasi-situasi yang berkaitan dengan pemain industri di Hang Tuah Jaya, saya percaya apa yang kita mahukan mesti mempunyai hubungan dua hala. Iaitu, apa yang diperlukan masyarakat, kerajaan, rakyat dan pemain industri. Mesti berkaitan antara satu sama lain.

“Saya percaya kita akan tambah baik perkara ini melalui pelbagai inisiatif dan perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kita mempunyai mandat serta suara yang kuat di parlimen,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan percaya sekiranya UMNO/BN diberikan mandat semula pada PRU ke-15 ini, keputusan yang terbaik akan dapat dicapai untuk sektor ekonomi Hang Tuah Jaya sekaligus membentuk kestabilan dan kemakmuran.

“Jadi saya percaya, mandat yang diberikan oleh masyarakat pada 19 November ini, Insya-Allah kita akan dapat capai keputusan yang terbaik untuk sektor ekonomi di Hang Tuah Jaya.

“Untuk membentuk kerajaan yang makmur dan stabil, pilihlah UMNO/BN agar ekonomi negara dapat dibangunkan dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Selepas PRU ke-14, Malaysia berada dalam keadaan tidak stabil khususnya dalam sudut politik apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kali pertama menggantikan UMNO/BN semenjak merdeka.

Justeru, bagi memperbetulkan semula kucar-kacir yang berlaku, rakyat diseru untuk memilih kerajaan yang terbukti mempunyai track record terbaik dalam mentadbir negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.