PRU15: BN Optimis Lepasi Angka 112 Kerusi Bentuk Kerajaan Persekutuan – Shabery Cheek

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Barisan Nasional (BN) akan melepasi angka 112 kerusi bagi membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berdasarkan kajian yang dibuat sehingga hari ketujuh selepas penamaan calon, hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, analisis tersebut dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan dalam tempoh berkempen selama tujuh hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa sehingga sekarang, insya-Allah kita akan melepasi angka 112 berdasarkan beberapa kajian yang dibuat, iaitu angka untuk mendapat majoriti mudah bagi kita menerajui kembali kerajaan.

“Ada tempat-tempat yang kita rasakan bahawa kita tidak melalui proses yang sukar. Tidak ada proses ‘damage control’, jentera sudah bermula awal daripada hari penamaan calon dan berjalan dengan lancar,” katanya pada satu sidang media yang berlangsung di Menara Dato Onn, hari ini.

Menurutnya, antara kerusi diyakini untuk menang ialah seperti di Titiwangsa dan juga Pagoh yang dipertaruhkan oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya sebutkan satu contoh seperti dalam Kuala Lumpur sendiri, Titiwangsa antara tempat yang paling rancak dan saya percaya bahawa kita boleh memperoleh kemenangan daripada kekalahan yang lepas.

“… dan yang kita rasa menarik, ada kerusi-kerusi panas yang tertentu misalnya Pagoh. Kita yakin bahawa UMNO/BN akan menang pada kali ini. Kita tahu antara sebabnya dahulu Muhyiddin bergantung banyak kepada undi-undi masyarakat Cina.

“Tetapi, PPBM bukan lagi parti yang mendapat sokongan daripada undi Cina. Di sana Pas lemah dan hilang deposit semasa pilihan raya yang lepas. Mereka tidak boleh bergantung sangat kepada Pas. Jadi, satu fenomena kita akan lihat PPBM berkemungkinan akan berhadapan dengan suasana mereka hilang kepimpinan mereka selepas pilihan raya ini,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Shabery lagi, sasaran yang dibuat itu turut mengambil kira sokongan parti GPS di Sarawak dalam pembentukan kerajaan yang akan datang.

“Kita juga mengambil kira dalam konteks sekarang ini UMNO/BN lebih mudah mendapat sokongan daripada parti GPS di Sarawak kerana satu-satunya gabungan yang menunjukkan hormat mereka, jadi kita tidak meletakkan sebarang calon.

“Ini berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), mereka mengganggu dan tidak menghormati gabungan GPS di sana, sudah tentu dia akan menjadi kawan ataupun teman rapat kepada UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan yang akan datang,” katanya lagi.

Pada PRU ke-14 lalu, BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13. Lantaran itu, tekad gelombang biru kali ini adalah bagi mengembalikan mandat kepimpinan kepada BN dengan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU ke-15 (PRU-15).

Manakala, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU ke-15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.