Pentingnya Siap Siaga… Negara Berdepan Hujan Lebat Dan Air Pasang Besar Hingga Esok

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kesiapsiagaan untuk menguruskan bencana banjir amat penting kerana negara sedang berhadapan dengan fenomena air pasang besar serta hujan lebat pada hari ini dan esok.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selepas 13 November air pasang besar tidak lagi menjadi isu dan situasi akan kembali terkawal.

“Hari ini dan esok merupakan waktu air pasang besar yang boleh mencapai sehingga ke lima meter dan kita perlu berjaga-jaga. Jika berlaku hujan lebat dan air pasang besar dalam waktu yang sama, akan memberi kesan besar kepada penduduk yang berada di kawasan rendah.

“Selepas tarikh 13 November, isu air pasang besar tidak lagi menjadi isu. Kita doakan supaya tidak turun hujan yang lebat kerana pada kebiasaannya, situasi akan terkawal sekiranya hujan lebat tidak disertai dengan air pasang besar,” katanya pada satu sidang media yang diadakan pada hari ini.

Menyentuh soal kesiap siagaan dalam menghadapi musim banjir, Ahmad Shabery mengingatkan bahawa persediaan awal akar umbi dan bermula dari bawah mesti dilaksanakan dengan lengkap.

“Kesiap siagaan merupakan pemikiran yang mesti datang daripada akar umbi, bermula daripada bawah. Siapkah tempat-tempat perpindahan, sudahkah ada makanan di sana dan sudahkah ada pengumuman awal supaya penduduk berpindah sebelum air naik?

“Jangan tunggu air naik baru nak cari bot, pacuan empat roda, bomba dan sebagainya. Amaran awal itu mesti dilatih di kalangan jentera akar umbi. Kalau dahulu ada Jawatankuasa Kampung (JKK), kepimpinan komuniti dan sebagainya,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Shabery lagi, antara kelemahan pengurusan banjir di Selangor ialah kurangnya kesiap siagaan meskipun telah diberikan amaran awal mengenai bencana ini.

“Kita tahu antara kelemahan pengurusan banjir di Selangor ialah kurangnya kesiap siagaan akar umbi. Mereka semua mengharapkan tentera, polis, bomba dan sebagainya. Itu yang penting.

“Tetapi, kalau ada tempat yang bomba nak turun dengan helikopter, nak tanya apa koordinatnya, apakah sudah disediakan tempat-tempat yang tertentu untuk mendarat misalnya nak turunkan bekalan makanan dan sebagainya?

“Jadi, kita perlu lihat persiapan di peringkat negeri, daerah sehingga ke peringkat akar umbi. Itu mesti dipersiapkan dari sekarang. Insya-Allah UMNO akan bantu sekiranya berlaku banjir besar bila-bila masa, di mana sahaja,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.