Jangan Lupa Sengsara 22 Bulan… Pelbagai Aset Negara Dijual, Kebajikan Rakyat Diperjudi – Norliza

JELEBU, 12 Nov – Rakyat diminta untuk mengambil iktibar serta tidak melupakan kesengsaraan yang mereka tempuhi ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pelbagai kerosakan yang PH lakukan termasuklah menjual segala aset yang sebelum ini memberikan kemudahan kepada rakyat.

“Saya bagi contoh isu Khazanah, mereka jual rantaian hospital nombor dua terbesar di dunia. IHH Berhad. Habis kena jual…yang untung dia jual.

“Keduanya, banyak aset-aset Tabung Haji (TH) kena jual. Sebab pada masa itu Menteri Kewangannya adalah Lim Guan Eng dari Dap. Sampai nak pergi menunaikan haji, terpaksa bayar berpuluh ribu Ringgit.

“Mana mungkin orang kampung berkemampuan untuk menunaikan haji sekiranya perlu mengeluarkan duit sebanyak itu. Jadi, kita kena ingat dan ambil perkara ini sebagai satu iktibar. Jangan lupa, ini yang berlaku dahulu,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ulu Jelebu.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia itu turut mengingatkan bahawa betapa pentingnya UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menang dengan majoriti besar untuk menggubal dasar bagi membantu rakyat.

“Dahulu UMNO/BN mentadbir 60 tahun lebih kita mempunyai kerusi majoriti yang besar. Jadi, kita boleh buat dasar, polisi dan turunkan segala bantuan kepada penduduk di kawasan luar bandar.

“Tetapi apabila kita ditadbir oleh kerajaan campuran, inilah masalahnya. Ada perkara yang kita nak laksanakan seperti bantuan rakyat, PH atau pihak lawan cakap tak boleh. Mereka tidak bersetuju. Jadi, kita nak gubal dasar dan polisi untuk bantu rakyat ini jadi sukar.

“Maka, sangat-sangat penting pada pilihan raya ini untuk kita menang besar, jadi sebuah kerajaan yang dominan dan melebihi dua pertiga,” katanya lagi.

PH jelas gagal bukan sahaja dalam bab menunaikan janji, malah membuktikan bahawa mereka tidak mampu untuk mentadbir negara khususnya dalam aspek pengurusan ekonomi kerana sebelum negara dilanda COVID-19, banyak petunjuk ekonomi memperlihatkan mereka gagal.

Hutang kerajaan meningkat kepada RM741 bilion daripada RM686 bilion, KDNK negara menjunam (51.8% kepada 50.7%), Rizab Antarabangsa Bank Negara menjunam teruk (USD 109.4 bilion kepada USD 102.1 bilion), nilai ringgit merosot pada kadar RM3.94 bagi setiap 1 USD dan lebih RM30 bilion aset negara dijual. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.