Zakaria Kagum Semangat Jentera, Bantu Hasni Capai Kemenangan

SIMPANG RENGGAM, 11 Okt – Ketua UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah kagum dengan semangat jentera parti yang tidak mengenal erti penat lelah dalam usaha membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan, Datuk Seri Hasni Mohammad pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau yang sentiasa menemani Hasni berkempen di kawasan berkenaan seterusnya berkata pengorbanan jentera parti di akar umbi tidak ada nilai bandingannya kerana mereka hanya mahukan kemenangan BN pada PRU kali ini.

“Alhamdulillah, saya kagum dan amat hargai usaha jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hulu Benut ini. Pentingnya kita untuk memastikan kejayaan calon kita Datuk Hasni untuk dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam. Ini semua untuk jaminan masa depan lebih terjamin,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama jentera BN di sini, malam tadi.

Beliau seterusnya mengimbau bagaimana senario sebelum ini apabila nama Datuk Hasni diletakkan untuk bertanding di kawasan berkenaan.

“Walaupun di peringkat awal bahagian dengar desas-desus dan sebagainya, namun  apabila dibuat keputusan Datuk Hasni adalah calon terbaik dan semestinya kita dah ambil pelbagai perkara. Justeru soal undi tidak lagi boleh kompromi dan jangan persiakan.

“Kita imbau selepas kekalahan sebelum ini. Bukankah kita dapat lihat dan sedar…mungkin kita selesa sebab lebih 60 tahun memerintah….mungkin ujian Allah..baik untuk kita dan kita sama-sama muhasabah. Jadi sama-sama kita doakan BN boleh menang dengan lebih baik 19 Niv nanti.

“Hari ini Allah lorongkan Datuk Hasni untuk bertanding di sini…selepas dimaklumkan kami dengan sukacitanya tanpa berbunyi apa-apa…kita sama-sama berdoa BN kembali mentadbir negara semoga perkara baik dapat terus dilaksanakan demi rakyat dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.