Undi PH dan UMNO/BN ‘Masuk Api Neraka’… Pas Masih Jumud Politik Sempit

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Nasir yang memberi amaran kepada para pengundi akan ‘masuk api neraka’ sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) dan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 memperlihatkan parti itu masih jumud dengan politik sempit.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, aliran ceramah ‘syurga dan neraka’ yang pernah dipopularkan Pas dahulu masih digunakan sehingga kini untuk mendapatkan undi.

“Hari ini tersebar satu rakaman ceramah Perikatan Nasional (PN) yang saya percaya penceramahnya adalah dari Pas dan dilakukan di Sik, Kedah yang memberi hukuman neraka bagi undi PH dan BN.

“Terkejut kerana masih ada lagi penceramah yang begitu mudah menghukum neraka kerana mengundi parti tertentu, seolah tuhan telah memberi kuasa kepada mereka menentukan siapa yang masuk syurga atau neraka.

“Aliran ceramah ‘syurga dan neraka’ yang dipopularkan Pas sekitar 70-an dan 80-an, saya fikir sudah ditinggalkan parti berkenaan. Tetapi masih ada saki baki yang menganut kumpulan tersebut gemar menghukum syurga dan neraka. Fikirkan Pas moden sekarang sudah tidak menjual agama bagi mendapat undi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Justeru, beliau mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengkritik sekeras-kerasnya video ceramah yang tular berkenaan serta berharap agar pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan sewajarnya.

“Pemuda UMNO Malaysia mengkritik keras ceramah seperti video viral berkenaan. Kita juga berharap pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam Kedah mengambil tindakan terhadap penceramah ini.

“Kita juga mendesak apakah pendirian Pas tentang kandungan ceramah ini. Apakah masih bersetuju dengan ceramah ‘syurga dan neraka’ ini ataupun mereka turut mengkritik tindakan penceramah ini,” katanya lagi.

Terdahulu tular sebuah video ceramah politik yang disampaikan oleh Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful, menyeru supaya semua pengundi Sik pulang ke kampung halaman dan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRU ke-15.

Namun, tindakan beliau mengeluarkan fatwa dan menghukum para pengundi yang mengundi PH serta BN ‘masuk api neraka’ menunjukkan bahawa mereka cuba mendapatkan undi dengan ‘menjual’ agama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.