Kubang Pasu Perlukan Pelan Dan Dasar Pertanian Yang Jelas- Hasmuni

KUBANG PASU, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hasan berkata Kubang Pasu harus mempunyai pelan dan dasar pertanian yang jelas dengan adaptasi teknologi baharu dan pembiayaan yang menarik.

Kata beliau yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, gabungan kekuatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri harus wujud bagi memastikan golongan pesawah, pekebun, penoreh, penternak dan pemain sektor pertanian Kubang Pasu beroleh manfaat.

“Selain dari pelan pembangunan pertanian yang moden dan jelas, perlu juga dipastikan kebajikan mereka terjamin.

“Kita akan menghadapi musim hujan tidak lama lagi. Kerajaan harus meneruskan bantuan-bantuan khusus buat golongan ini agar mereka boleh bertahan sebelum musim menuai dan meraih hasil datang.

“Tuntas, sektor pertanian Kubang Pasu adalah warisan dan identiti kita yang harus diperkasakan. Saya mahu melihat 10 – 20 tahun lagi, bendang-bendang dan kebun kita terus hidup dan berhasil berkali ganda. Saya mahu anak-anak dan cucu kita kenal dan menghargai identiti Kubang Pasu kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya mengimbau bagaimana perkara itu telah dibangkitkan sebelum ini dengan panjang lebar.

“Tempoh hari, saya menegaskan kepentingan pembangunan kawasan sempadan di Bukit Kayu Hitam sebagai enjin pemodenan dan pembangunan Parlimen Kubang Pasu. Di sebalik prospek tinggi yang boleh diraih oleh SBEZ, kita tidak boleh meninggalkan aktiviti ekonomi utama yang kita warisi turun temurun dari nenek moyang kita.

“Bendang-bendang keluarga kita telah berpuluh tahun memberikan rasa selamat dengan memastikan periuk belanga kita berasap. Selain itu, tanaman komoditi getah menjana pendapatan yang boleh datuk nenek, ayah dan mak kita menghantar kita ke sekolah dan universiti.

“Kita tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Pandemik COVID-19 dan situasi perang di Russia-Ukraine telah menjadikan situasi bekalan makanan negara kita genting. Harga dedak menjadi mahal, bekalan ayam dan telur boleh terjejas dan naik harga. Daging lembu dan kambing masih lagi perlu diimport dari negara luar, malah beras sendiri kita masih kena import dari negara jiran.

“Walaupun situasi nampak sukar, kita harus melihat potensi di sebaliknya. Kubang Pasu mempunyai kekuatan sektor pertanian yang boleh digandakan. Kita mempunyai tanah dan tenaga insan yang boleh digembleng bagi menjana manfaat dari sektor ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.