Tagline ‘Permatang Pauh Berubah’ Meresap Ke Jiwa Rakyat – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) percaya tagline ‘Permatang Pauh Berubah’ yang dibawa beliau sepanjang berkempen meresap ke jiwa rakyat.

Katanya ini kerana, pertemuan bersama rakyat ternyata mendapat respon mengujakan yang tidak pernah disangka oleh beliau sebelum ini.

“Alhamdulillah dalam beberapa hari berkempen ini sokongan kepada BN kelihatan begitu melonjak sekali tagline ‘Permatang Pauh Berubah’ yang kita bawa ini telah meresap ke jiwa rakyat. Anda menjadi saksi bagaimana saya disambut dengan begitu mesra sekali oleh pengunjung dan peniaga pasar malam.

“Ini adalah suatu yang sangat luar biasa bagi saya sebagai ahli UMNO/BN. Perkara ini jarang berlaku berlaku kepada orang UMNO di Permatang Pauh tetapi perubahan yang ditunjukkan hari ini bermakna mereka telah sedar bahawa 23 tahun ini tidak ada kemajuan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan walkabout bertemu pengundi di Pasar Malam Kampung Tok Elong di Penanti.

Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian berkata, sepanjang tempoh kawasan ini dikuasai PKR/Pakatan Harapan (PH) tiada pembangunan dibawa meskipun ketika mereka menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri yang pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh juga tidak langsung mengingati rakyat di kawasan ini meskipun dirinya suatu ketika pernah diangkat oleh penduduk ini.

“Pemimpin yang menjadi ahli Parlimen bercakap perkara yang tidak ada kaitan dengan rakyat di sini, menyebabkan rakyat terpinggir, keutamaan sepatutnya adalah kawasan kita perlu ingat dalam negara kita ini sebagai Ahli Parlimen, persidangan Dewan Rakyat setahun tidak lebih 45 hari, hari lainnya adalah untuk berkhidmat.

“…tetapi kalau wakil rakyat tidak berada dalam kawasan macam mana kita hendak perkhidmatan kepada rakyat. Rakyat perlu berubah dan kenapa beliau tidak melakukan apa-apa selama menjadi wakil rakyat, kenapa ayahanda, bonda dan dirinya sepanjang menjadi Ahli Parlimen tidak melakukan apa-apa untuk rakyat di sini?

“Paling utama 22 bulan menjadi kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu dan juga Ahli Parlimen tidak mengambil kesempatan untuk membangunkan kawasan inilah menjadi agenda saya kenapa Permatang Pauh perlu berubah,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mohd Zaidi pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional dan Pejuang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.