Manifesto BN Bukan Janji Bulan Bintang, PADU Realistik Untuk Semua – Rozi Mamat

HULU TERENGGANU, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rozi Mamat berkata manifesto yang diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) adalah satu yang realistik untuk rakyat negara ini.

Jelas beliau, tawaran pelbagai inisiatif dan program kebajikan yang dikemukakan oleh BN tentunya dapat dicapai sekiranya diberi peluang mentadbir negara sekali lagi.

“Manifesto yang dikemukakan oleh BN adalah satu manifesto yang boleh dicapai sekiranya diberi peluang oleh rakyat untuk membentuk kerajaan selepas PRU ke-15 ini.

“PADU ini merangkumi semua peringkat umur dan telah mencakupi sama ada B40, warga tua, orang yang berkerja dan berpendapatan rendah serta nampak keseluruhan manifesto tersebut ialah untuk membela rakyat yang menghadapi kesukaran buat masa ini.

“Seperti contohnya pemotongan cukai secara ‘direct’ kepada pekerja yang berkerja sendiri. Itupun ada potongan-potongan dan sokongan dari pihak kerajaan BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu menjelaskan manifesto BN ini tidak menjanjikan bulan dan bintang seperti manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU lalu.

“Kalau kita janji hendak buat manifesto yang pelik-pelik pun boleh tapi takut tak mampu nak buat pada rakyat jadi macam manifesto yang dulu iaitu PH yang menjanjikan bermacam-macam, bulan dan bintang untuk menyedapkan telinga dan tidak mampu dilaksanakan,” jelasnya lagi.

Terdahulu Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan manifesto BN iaitu PADU adalah satu tawaran baharu yang segar untuk rakyat Malaysia.

Katanya, tawaran PADU itu bukannya janji-janji manis dan indah dan terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadikan panduan dalam mengemudi negara menjadi maju dan makmur. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.