PADU Bersifat Inklusif, Tawaran Pendidikan Terbaik Buat Rakyat – Reezal
KEPALA BATAS, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambut baik Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang diumumkan Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Beliau berkata tawaran yang menarik perhatian adalah berkenaan pendidikan terutama membabitkan golongan B40.
“Manifesto yang mencakupi semua… amat inklusif dan bersifat praktikal, saya amat suka bila mana ia menyentuh banyak perkara membabitkan prasekolah, pendidikan untuk B40 dalam masa-masa yang kita berdepan dengan kesukaran ekonomi.
“Pasti kos menjadi bebanan kepada ibubapa terkesan dalam memberi pendidikan kepada anak-anak. Ianya adalah jaminan yang saya anggap amat berharga ditawarkan oleh BN untuk memberi pendidikan percuma kepada anak-anak B40 melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan ziarah kasih di Kota Aur, di sini.
Beliau selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga berkata pendekatan ini sememangnya antara agenda perjuangan parti keramat ini bagi memastikan berlakunya perubahan sosial hidup dalam kalangan rakyat.
“Sebagaimana yang saya sebut perjuangan UMNO/BN adalah untuk melihat berlakunya sosial mobiliti iaitu pergerakan sosial merangkumi status, tahap kalau bapanya itu seorang nelayan suatu pekerjaan yang mulia tetapi kita hendak tambah nilai anaknya biar jadi jurutera supaya berlaku pergerakan.
“Kalau bapanya tidak masuk universiti anaknya kita tidak mahu berada di takuk itu untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“…ianya juga merentasi semua kaum termasuk orang India, jika dahulu bapanya bekerja estet dengan menoreh getah kita tidak mahu anaknya berterusan bekerja estet dan itu adalah berdosa pada pemimpin kalau tidak dapat melakukan anjakan sosial dalam masyarakat,” ujar beliau.
Reezal yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata PADU juga seumpama Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam mengangkat ekonomi rakyat secara keseluruhannya.
“Sosial mobiliti ini adalah perjuangan daripada DEB dahulu mungkin datang dalam bentuk mekanisme, wajah berbeza tetapi hakikatnya kita ingin teruskannya kepada semua peringkat malah dengan melebar lantai peluang untuk anak-anak mendapat pendidikan.
“Menjadikan kos-kos ini bukan sebagai satu kekangan untuk mendapat pendidikan, ini adalah salah satu agenda sosial mobiliti yang dibawa oleh BN,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib