Calon BN Hang Tuah Jaya Iltizam Yakinkan Pengundi, Kemajuan Nafas Baru Agenda Utama

BUKIT KATIL, 8 Nov – “Semuanya calon muda dan kebetulan nombor kad pengenalan bermula dengan angka lapan di depan… ini satu persaingan orang muda di Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini,” demikian kata calon Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Beliau yang ditemui sejurus selesai mengadakan ‘walkabout’ di Pasar Malam Bukit Baru dekat sini seterusnya beriltizam untuk melakukan yang terbaik dalam usaha meyakinkan pengundi terutamanya memilih calon tempatan di kawasan tersebut.

Kata beliau lagi yang merupakan antara muka baharu serta pimpinan Pemuda UMNO yang diketengahkan parti  pada PRU kali ini, BN mendapat maklum balas yang amat baik daripada masyarakat setempat.

“Apabila pilihan itu banyak ianya memang diakui satu cabaran kepada setiap calon yang bertanding dan saya insya-Allah akan melakukan yang terbaik untuk yakinkan pengundi.

“…berdepan dengan calon muda… jadi apa pun kita terus bergerak dan maklumbalas  masyarakat cukup baik. Harapan mereka untuk pimpinan BN membawa suara mereka ke Parlimen Malaysia dan Alhamdulillah masing-masing dilihat lebih yakin dengan BN.

“Mungkin faktor anak tempatan, keduanya kombinasi orang lama dan baru yang ada dalam BN Hang Tuah Jaya memberi keyakinan kepada mereka. Malah saya percaya selain daripada faktor calon yang ada pada hari ini, masyarakat juga akan lihat siapa di belakang seseorang calon termasuklah parti yang diwakili,” katanya kepada UMNO Online.

Menyentuh soal misi beliau di Hang Tuah Jaya, Ridhwan menegaskan beliau ingin melihat kemajuan diberikan nafas baru supaya ianya benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

“Saya ingin lihat kemajuan diberikan nafas baru… sembilan tahun enam bulan yang berlalu ini saya pergi mana-mana tempat… apa mercu tanda di sini… tidak nampak… kita nak terus bergerak ke depan. Setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) ada masalah yang berbeza dan saya akan berikan tumpuan perkara-perkara ini, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.