PRU15: Kempen Secara Santai Dan Harmoni Pilihan Ismail Sabri, Elak Serangan Peribadi

BERA, 6 Nov – Strategi kempen pilihan raya secara santai, harmoni dan tidak menyerang peribadi lawan menjadi fokus Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera mewakili Barisan Nasional (BN) berkata pemikiran pengundi masa kini khususnya pengundi kali pertama adalah berbeza berbanding dahulu, dan mereka lebih bijak serta matang dalam membuat keputusan.

“Bagi saya dengan pengundi baharu dan muda, pemikirannya sudah berbeza… mungkin mereka tak suka dengar serangan peribadi, serangan yang agak kurang tepat. Kita (berkempen) berdasarkan fakta, ini yang saya buat dan akan terus buat untuk kepentingan mereka (pengundi muda),” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan, di sini hari ini Ismail Sabri berkata apa yang penting adalah tumpuan untuk mengangkat dan ‘menjual’ produk sendiri berbanding kaedah memburukkan produk pihak lain.

Beliau seterusnya sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan akan melaksanakan janji yang dibuat menerusi Bajet 2023 untuk kepentingan rakyat kerana sudah mempunyai dana yang telah ditetapkan.

Pada PRU15, Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004 berdepan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan Abas Awang yang bertanding atas tiket PKR dan Datuk Asmawi Harun daripada Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional.

Pada pilihan raya umum 2018, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menang dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 2,311 undi menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang mendapat 18,499 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman yang memperoleh 8,096 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi PRU15, manakala 15 Nov adalah hari mengundi awal.

Sementara itu Perdana Menteri berkata sekiranya berlaku banjir besar, tindakan selanjutkan berhubung perjalanan proses pilihan raya tertakluk sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jika berlaku banjir besar yang sehingga orang tak boleh keluar (mengundi), maka saya akan bincang dengan SPR kalau ada alternatif lain. Kita juga akan berbincang dengan MetMalaysia (Jabatan Metrologi Malaysia), serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana, dan SPR pun boleh beri pandangan,” katanya.

Pada 4 Nov lepas, MetMalaysia memaklumkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan bermula 7 Nov ini dan berterusan sehingga Mac 2023 yang boleh mengakibatkan berlaku banjir bagi kawasan rendah dan berdekatan sungai

Selain itu jabatan berkenaan turut meramalkan fenomena air pasang besar berlaku dalam beberapa tempoh antara November ini hingga Januari depan.

Perdana Menteri berkata sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas, Kerajaan Persekutuan telah membuat segala persedian untuk menghadapi bencana itu termasuk mesyuarat bersama dengan menteri besar dan ketua menteri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.