Ibu Calon BN Parlimen Larut Restu Anak Terjun Bidang Politik

LARUT, 6 Nov – Walaupun sudah mempunyai kerjaya hebat dan terjamin, ibu kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut Shafiq Fhadly Mahmud merestui impian anaknya untuk menggapai cita-cita dalam dunia politik.

Zairah Abdullah, 66, mengakui gembira apabila anaknya tersenarai sebagai calon DUN Kubu Gajah namun bertukar takut dan tidak mampu melelapkan mata selepas mengetahui anaknya bakal dicalonkan di Parlimen, menggantikan calon awal iaitu Ustaz Kazim Elias.

“Syafiq memang minat dengan politik dari kecil. Bila dengar dia dicalonkan untuk DUN Kubu Gajah memang lega sebab dekat sana semua kenal dia, tapi bila bertanding di Parlimen, mak cik jadi takut, tak lena tidur bila tahu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap anaknya yang juga jurutera Petroleum itu mampu diterima semua penduduk Parlimen Larut dan mengekalkan kerusi itu milik BN yang dimenangi pada PRU14.

“Mak cik doa hari-hari Allah SWT beri kemenangan kepada dia sebab itu minat dia,” katanya.

BN sebelum ini mempertaruhkan pendakwah bebas, Ustaz Kazim untuk berdepan Hamzah di Parlimen Larut. Namun, Ustaz Kazim menarik diri pada saat akhir dan digantikan dengan Shafiq yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut.

Syafiq Fhadly, 37, sebelum ini berkata beliau tidak gentar untuk berdepan Setiausaha Agung PPBM Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata walaupun dianggap sebagai calon ‘underdog’, ia sama sekali tidak mencalarkan semangatnya malah yakin mampu memberi saingan di kerusi berkenaan.

“Saya telah bersedia berhadapan tidak kira siapa pun di Larut kerana yang pasti kita membawa semangat dan roh perjuangan UMNO dan BN.

“Saya juga membawa semangat jentera BN di Larut. Kita dapat lihat bagaimana jentera bekerja keras, (gerak kerja) mereka bukan hanya pada PRU15 tetapi telah lama sejak kalah pada 2018 (PRU14),” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit