PRU15 Untuk Bentuk Kerajaan Stabil, Pilih BN Yang Mampu Urus Negara – Tok Mat

 

 

REMBAU, 5 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bertujuan untuk pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu menguruskan negara.

Sehubungan itu beliau yang juga calon BN Parlimen Rembau berharap rakyat dapat membuat pilihan yang bijak dan terbaik dengan memilih BN yang mempunyai ‘track record’ mengurus tadbir negara dengan stabil.

“Alhamdulillah… proses penamaan calon telah pun selesai. Jadi saya harap jentera terus dapat jalankan gerak kerja kempen dengan tersusun dan teratur. Kita tidak mahu usik sesiapa dan tujuan PRU adalah untuk memilih parti yang akan diberikan mandat oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan.

“Pastinya  kerajaan yang bakal ditubuhkan ini satu kerajaan yang mantap kerana negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil sepertimana kita dapat dulu-dulu… tetapi selepas PRU14 ketidakstabilan kerajaan itu nyata dan mereka gagal menguruskan kerajaan dengan baik.

“Jadi negara apabila diurus oleh kerajaan  yang tudak stabil ianya tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan bahkan negara kita terencat pembangunan dan ekonominya dalam keadaan yang kurang baik pada ketika ini,” katanya.

Katanya lagi itu sebabnya pada PRU15 ini rakyat diharap agar dapat membuat penilaian dan dapat melihat perbezaan antara parti yang memerintah.

“Saya harap dan berdoa supaya rakyat berfikiran dengan baik dan jangan ikut perasaan, jangan ikut emosi dan yang penting adalah pilihlah parti yang mempunyai ‘track record’ yang baik… ’track record’ yang telah lama mentadbir, dulu negara kita dapat diurus, ditadbir serta dibangunkan dengan baik sekali.

“Jadi saya harap rakyat dapat membuat penilaian dan semua parti telah diberikan peluang untuk menubuhkan kerajaan dan kita dapat bezakan dalam empat tahun ini siapa yang sepatutnya kita berikan mandat untuk mentadbir negara 19 Nov ini.

“Sudah tentunya bukan sahaja pengundi di Parlimen Rembau malah seluruh negara  untuk memberikan kepercayaan kepada BN. Pasukan kami akan bersama-sama dalam untuk menguruskan negara,” tambahnya.

Terdahulu pada proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Seri Rembau, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO akan bersaing lima penjuru di Parlimen berkenaan.

Selain Mohamad, PH meletakkan calonnya, Jufitri Johar sementara  Ramli Awaludin, Pejuang,

Thinagaran A/L Subramaniam, PSM dan Mohd Nazri Mohd Yunus, PN.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit