PRU15: Ahli UMNO Bertanding Tiket Lawan Automatik Dipecat – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 5 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli parti yang bertindak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 atas tiket pihak lawan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut ada dinyatakan dalam perlembagaan dan tatacara parti.

“Apa yang diputuskan (calon) ini ianya bukan satu kejutan tetapi perubahan biasa bagi menukarkan wajah lama ke wajah baharu iaitu memenuhi cita rasa para pengundi. Melalui bacaan yang telah kita lakukan mendapati bahawa penerimaan calon-calon baharu amat menggalakkan.

“Bagi mereka yang tidak terpilih dan membuat keputusan untuk bertanding atas tiket pihak lawan, maka mengikut fasa-fasa tertentu UMNO/BN mempunyai hak untuk memecat mereka secara automatik.

“Begitu juga kepada pencadang dan penyokong calon tersebut. Kita akan membuat keputusan mengikut tatacara dan etika UMNO/BN,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata, ini merupakan kali pertama BN memberikan kerusi kepada Friends of BN dan dua calon yang berunding secara terus dengan parti itu.

“Pada kali inilah buat pertama kalinya BN meletakkan calon-calon kepada Friends of BN dan dua calon direct candidate biarpun mereka belum menjadi mana-mana ahli komponen. Ini merupakan perubahan yang diidamkan.

“Pada PRU ke-15 ini, BN telah meletakkan seramai 178 calon di seluruh negara. Ini adalah berikutan daripada BN mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon di Sarawak. Manakala di Sabah, kita hanya mempertaruhkan 12 calon.

“Ini kami mengambil kira bahawa UMNO meletakkan 120 calon dan selebihnya kita beri peluang kepada calon-calon parti komponen iaitu MCA, MIC dan sebagainya.

“Untuk Sabah, daripada 25 kerusi yang telah ditawarkan untuk ditandingi, kami telah memberikan persetujuan melalui kerjasama dengan GRS bahawa di Sabah, BN meletakkan 12 calon dan mereka 13 calon,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat untuk ‘mewajahkan’ semula parti dengan mengemukakan banyak muka baharu dengan harapan untuk membentuk kerajaan.

“Kali ini kita berhasrat untuk ‘mewajahkan’ semula UMNO/BN dengan mengemukakan banyak muka-muka baharu yang terdiri dari kumpulan profesional dan berpengalaman. Kombinasi ini untuk mewujudkan kesinambungan dalam membentuk sebuah kerajaan.

“Saya harapkan calon-calon yang menawarkan diri mewakili UMNO/BN akan memperolehi sokongan daripada pengundi untuk membolehkan kita membentuk kerajaan,” katanya lagi.

Parlimen ke-14 telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022 bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat selepas kerajaan tersebut dikatakan sebagai kerajaan ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’.

Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November ini sebagai tarikh PRU. – UMNO Online