Khaled Yakin Rakyat Buat Penilaian Terbaik, Matlamat BN Bawa Kestabilan

KOTA TINGGI, 5 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin rakyat akan membuat penilaian terbaik di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini khususnya di kawasan yang ditandinginya itu.

Ujar Naib Presiden UMNO itu, usaha membangunkan Kota Tinggi yang berpotensi besar bukan sahaja memerlukan individu yang berpengalaman malah perlu ada hubungan yang rapat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Sudah tentulah usaha untuk membangunkan Kota Tinggi ini bukan sahaja memerlukan mereka yang berpengalaman tetapi juga yang ada hubungan yang baik, rapat dan yang memang bersedia untuk bekerjasama dalam nak membangun dan memajukan Kota Tinggi.

“Dalam kita berhadapan dengan pilihan raya kali ini, kita tidak boleh lari dari hakikat iaitu kerajaan negeri (Johor) sudah dibentuk dan kerajaan negerinya ialah kerajaan Barisan Nasional.

“Dan sudah tentulah sangat penting bagi penduduk Kota Tinggi yang mahukan berlakunya perubahan dan kemajuan, mereka menyedari bahawa soal untuk memenuhi harapan dan kehendak mereka antaranya tentulah jika ada kerjasama di antara kerajaan negeri. Dan ini merupakan salah satu faktor yang sangat penting yang kira perlu diambil kira,” ujar Khaled lagi yang juga bekas Menteri Besar Johor kepada media, sejurus selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Di dalam sidang medianya itu, Khaled juga bersyukur kerana proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kota Tinggi dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Pada PRU-15 ini, Parlimen Kota Tinggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru di mana Khaled akan berhadapan dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jelas Khaled yang pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi itu lagi, hasrat BN pada PRU-15 ini adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil yang menjadi asas kepada segala perancangan untuk negara dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita juga inginkan supaya kita mempunyai kerajaan pusat yang stabil dan seperti yang sedia maklum Barisan Nasional menyertai pilihan raya ini dengan matlamat membawa kestabilan kepada negara.

“Kita tahu itu menjadi asas kepada segala usaha yang hendak kita buat untuk negara. Jadi sebab itulah kita berharap rakyat akan dapat membuat penilaian yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Khaled turut menasihati rakyat agar dapat menapis dan meneliti maklumat dengan sebaiknya serta tidak termakan hasutan dan fitnah yang tersebar.

“Dalam masa dua minggu ini memang akan ada macam-macam usaha dan sebagainya yang akan memberi kenyataan-kenyataan ataupun cerita-cerita yang negatif membawa persepsi yang buruk sebahagiannya adalah separuh fakta, ada juga yang fitnah.

“Saya berharap kita tidak mengulangi keadaan itu, apa yang telah berlaku dahulu. Kita membuat pertimbangan kepada asas-asas yang betul, tepat kerana akhirnya kita hendak kemenangan itu membawa kemenangan kepada rakyat, iaitu rakyat mendapat pembelaan yang tepat,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.