Ismail Sabri Yakin BN Dapat Bentuk Kerajaan Dominan

BERA, 5 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin parti ini dapat membentuk kerajaan yang dominan.

Ini kerana katanya, kemenangan BN adalah paling utama dan bukannya kemenangan individu.

“Paling penting saya menang di Parlimen Bera dan BN menang serta boleh membentuk kerajaan. Itu yang utama sekarang. Tidak mahulah saya menang sahaja tapi kalau parti kalah macam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan kita menjadi pembangkang.

“Saya dan BN juga yakin seperti dinyatakan kepimpinan tertinggi berkali-kali. Kita yakin kali ini jadi parti dominan.

“Tidak kiralah berlaku berapa penjuru dalam pertandingan atau satu lawan satu namun keyakinan kena diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini.

Beliau yang juga Perdana Menteri Malaysia mengharapkan setiap ahli UMNO/BN mengenepikan agenda peribadi dan membantu parti ini memenangi PRU.

“Setiap ahli UMNO/BN seharusnya mengenepikan segala agenda peribadi dan memberi keutamaan kepada kemenangan parti. Tidak semua yang akan bertanding walaupun di setiap kawasan Parlimen semuanya layak bertanding.

“Tapi yang terpilih hanya seorang saja, yang pentingnya siapa saja yang terpilih adalah mewakili BN.

“Jadi kita sebagai ahli parti, tugas utama adalah memastikan parti menang dan ketepikanlah perbezaan dan masalah yang timbul. Fokus utama adalah memastikan kemenangan parti,” katanya lagi.

Tegasnya, yang penting adalah kemenangan BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.