BN Kota Tinggi Sokong Penuh, Pastikan Kemenangan Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 5 Nov – Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Kota Tinggi Muszaide Makmor berkata pihaknya memberi sokongan yang padu bagi memastikan kemenangan calonnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi itu, komitmen yang ditunjukkan oleh jentera tidak boleh disangkal kerana amat berpengalaman, bersemangat dan matang dalam berpolitik.

Justeru kata Muszaidie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, pihaknya tidak gentar dengan calon yang dikemukakan pihak lawan.

“Sudah tentulah kita kena kerja kuat kerana kita mendapat tentangan dari pihak lawan. Tetapi calon kita ini berpengalaman, yang pernah menjadi menteri besar (Johor) membawa pembaharuan dan pembangunan,” katanya dalam ucapan ringkas sebelum perarakan ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Selain Khaled yang juga Naib Presiden UMNO, hadir sama barisan kepimpinan dan jentera komponen BN.

Tambah Muszaide lagi, BN Kota Tinggi akan membantu serta menyelaras kempen-kempen yang akan dihadiri Khaled ke segenap pelusuk kawasan Parlimen.

“…akan menjelajah di setiap pelusuk dalam Parlimen kita dan saya selaku pengarah jentera akan mengaturkan jadual.

“Saya mohon semua ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bergerak aktif. Kita akan pastikan pengundi putih tahu di mana mereka kerana 19hb kita pastikan pengundi putih balik mengundi pangkah calon kita,” katanya.

Pada Khamis, Khaled bertemu dengan penduduk di dalam satu majlis ramah mesra di Felda Lok Heng Barat dalam program sulungnya di sini sempena PRU15.

Pada PRU15 ini, di Johor pengundian hanya melibatkan di peringkat Parlimen kerana di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lalu.

Dalam PRN Johor lalu, kedua-dua kawasan DUN di dalam Parlimen Kota Tinggi ini iaitu Sedili dan Johor Lama dimenangi oleh BN.

Berhubung dengan proses penamaan calon, Khaled tiba di pusat penamaan lebih kurang pada jam 9 pagi dan dijangka akan ditentang calon-calon dari parti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Suasana hujan sejak awal pagi dilihat tidak mematahkan semangat jentera dan penyokong BN yang tetap setia bersama berhimpun di padang awam berhadapan pusat penamaan yang telah ditetapkan pihak berkuasa. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.