PRU15: Calon Berbeza Latar Belakang, Bukti UMNO/BN Faham Aspirasi Rakyat – Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 4 Nov – Keputusan UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk membariskan pelbagai tokoh yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan bahawa parti ini memahami aspirasi dikehendaki rakyat.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perubahan lanskap politik yang berlaku pada ketika ini menuntut supaya UMNO/BN terus memahami percaturan tersebut.

“Saya percaya apabila Pengerusi BN membariskan pelbagai tokoh yang mempunyai latar belakang berbeza, ini adalah gambaran bahawa UMNO/BN memahami aspirasi dikehendaki rakyat kerana mereka yang menentukan kelangsungan parti.

“Disebabkan keadaan sudah berubah, lanskap politik sudah berbeza dengan kehadiran lebih daripada 58 peratus pengundi bawah umur 40 tahun, ia tentunya menuntut parti untuk memahami perubahan tersebut dan menampilkan sesuatu yang berbeza untuk membolehkan kita terus diterima oleh rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut menekankan soal kesetiaan kepada parti yang dibawa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

“Sebagaimana disebut oleh Presiden UMNO, antara perkara penting yang perlu dijaga ialah kesetiaan kepada parti. Ini satu perkara yang penting kerana kita membawa slogan kestabilan dan kemakmuran maka parti ini harus memperlihatkan kekuatan dengan bersatu padu, akur dengan keputusan parti dan setia.

“Kita mahu menterjemahkan semua perkara ini dalam perkhidmatan kita kepada rakyat kerana fungsi UMNO/BN tersebut membuktikan bahawa kita mahu berkhidmat untuk rakyat, bukan diri sendiri,” katanya lagi.

Menurut Shamsul Anuar lagi, aku janji sumpah calon yang telah dibuat semasa Majlis Pengumuman Calon tempoh hari menunjukkan betapa seriusnya UMNO/BN dalam menolak gejala rasuah dan turut berharap agar rakyat kembali kepada parti itu.

“Salah satu elemen yang membezakan kita dengan parti lain ialah apabila kita ada angkat sumpah. Itu memperlihatkan keseriusan UMNO/BN untuk memberi bukti kepada rakyat bahawa kita bersungguh-sungguh dalam menolak gejala rasuah.

“Terima kasih kepada Pengerusi BN dan kepimpinan serta UMNO Bahagian saya yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab bagi mengekalkan kerusi Parlimen Lenggong.

“Saya percaya harapan rakya untuk kita (UMNO/BN) menang dengan majoriti yang lebih besar dapat dicapai. Saya harap rakyat undilah BN demi kestabilan dan kemakmuran. Orang Lenggong jangan lupa undi saya untuk pastikan kita terus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah berjaya menewaskan pihak lawan dari Pas, Muhd Mujahid Mohd Fadzil dan dari PPBM, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dengan majoriti undi sebanyak 5,773 undi.

Untuk rekod, beliau telah menyandang kerusi Parlimen Lenggong selama 14 tahun iaitu sejak tahun 2008 sehingga kini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.