PRU15: Aku Janji Tolak Rasuah Calon UMNO/BN, Lonjakan Baharu Untuk Diterima Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Perubahan yang ditunjukkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) melalui angkat sumpah calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan bahawa parti ini sedang melonjak ke arah diterima oleh rakyat.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, UMNO/BN telah memasuki satu fasa baharu kerana berani membuat satu perubahan yang sangat drastik dan berani.

“Kita tengok UMNO/BN menunaikan janji untuk memberikan satu perubahan kepada rakyat. Kami semua telah mengangkat sumpah aku janji untuk melaksanakan tugas dan tidak mengamalkan rasuah.

“Jadi saya rasa kita telah memasuki fasa baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ianya merupakan satu lonjakan ke arah rakyat menerima kita semula sebab kita telah membuat satu perubahan yang sangat drastik dan berani,” katanya kepada UMNO Online.

Mashitah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para kepimpinan yang berjaya untuk memenuhi kuota 30 peratus calon wanita di negeri Kedah serta menyuarakan hasrat bagi menyelesaikan segala masalah di Kuala Kedah sekiranya berjaya dipilih menjadi wakil rakyat.

“Alhamdulilah saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang memenuhi kuota 30 peratus wanita di negeri Kedah. Seramai empat orang wanita telah dipilih menjadi calon Parlimen, Insya-Allah kami akan memberikan seat-seat ini kepada UMNO/BN.

“Visi Kuala Kedah kita tengok banyak masalah yang tergendala. Jadi, kata-kata untuk Kuala, kita mesti menyempurnakan yang tergendala,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mashitah turut berharap agar pengundi di kawasan Kuala Kedah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menyelesaikan segala masalah yang tergendala di kawasan tersebut.

“Untuk para pengundi di Kuala Kedah, berikanlah kepercayaan kepada saya. Banyak benda yang kita nak buat. Tak rugi kalau anda pilih UMNO/BN. Track record telah membuktikan segalanya.

“Jom kita sama-sama laksanakan mana yang tergendala, kita jalankan semula misi kita. Pilihlah UMNO/BN demi kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.

Datuk Dr Mashitah Ibrahim merupakan seorang bekas pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Gombak sebelum menceburkan diri dalam bidang politik.

Beliau juga terbukti mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi apabila pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri melalui lantikan Senator dan ahli Parlimen Baling. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.