BN Simpang Renggam Ikrar Bantu Kemenangan Hasni – Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ketua UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata seluruh jentera bahagian berkenaan di setiap peringkat bukan sahaja bersiap- siaga malah masing-masing berikrar untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan tersebut, Datuk Hasni Mohammad beroleh kejayaan yang mengujakan.

Dalam satu kenyataan beliau menegaskan ahli serta jentera parti dan kepimpinan pelbagai peringkat mengenepikan kepentingan diri dan telah bergerak ke arah satu matlamat yang jitu iaitu ingin meletakkan kembali BN/UMNO ke pusat kuasa demi kelangsungan bangsa di tanah air tercinta Malaysia.

“Presiden parti telah menamakan Datuk Ir Hasni Mohammad selaku calon bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam. Beliau semenjak tahun 2018 hingga kini, adalah Pengerusi BN merangkap pengerusi perhubungan UMNO bagi negeri Johor.

“Kepimpinan UMNO Bahagian Simpang Renggam yakin dengan pengalaman pentadbiran dan pengurusan politik yang ada pada beliau selaku Pengerusi UMNO Negeri Johor, bukan sahaja matlamat untuk meletakkan kembali perjuangan BN/UMNO pada landasan asal dapat dicapai, malah keberadaan kehendak umum Simpang Renggam (The Simpang Renggam General Will) di Parlimen Malaysia kelak akan lebih terserlah (visible) berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau seterusnya menjawab persoalan yang mungkin ditimbulkan oleh sesetengah pihak apakah wujud kekecewaan berhubung pencalonan berkenaan dan beliau menegaskan perkara itu tidak timbul sama sekali.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah tidak wujud kekecewaan dalam kalangan kepimpanan UMNO bahagian khususnya saya selaku Ketua UMNO Bahagian terhadap pencalonan Datuk Hasni. Seperti mana yang sering kali saya ungkap dan nukilkan di setiap ucapan saya khususnya pada perasmian mesyuarat UMNO bahagian, prinsip saya adalah jelas iaitu kepentingan parti adalah lebih utama berbanding dengan kehendak peribadi.

“Dalam erti kata lain, apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti yang dilihat punya matlamat yang jelas kepada proses pengukuhan dan kestabilan parti, ianya mesti diakuri dan ditaati. Hal ini meliputi aspek pemilihan calon bagi menghadapi apa jua bentuk peringkat pilihan raya.

“Sekiranya pucuk kepimpinan tertinggi parti memutuskan bahawa saya adalah calon yang terbaik untuk mewakili bahagian, maka keputusan itu juga saya akan akur dan taat, dan demikianlah sebaliknya. Itulah prinsip perjuangan dan tingkah politik yang dibudaya oleh saya dan kepimpinan di peringkat Bahagian Simpang Renggam semenjak “robohnya Kota Melaka” pada tahun 2018 yang lalu,” katanya.

Katanya lagi, umum tahu PRU14 yang lalu merupakan tinta sejarah hitam kepada perjuangan politik BN/UMNO di negara ini iaitu, umpama robohnya ‘Kota Melaka’.

“Atas robohnya ‘Kota Melaka’, kepimpinan BN/UMNO yang tersisa, semenjak empat tahun yang lalu dengan penuh semangat juang yang murni bangkit kembali membina kekuatan parti untuk kembali berada di persada nusa.

“Kepimpinan UMNO Bahagian Simpang Renggam tanpa mengira status dan kedudukan yang diterajui oleh saya semenjak tahun 2018, menerapkan semangat tersebut sejak empat tahun yang lalu. UMNO Bahagian Simpang Renggam tanpa mengira wang, masa dan tenaga telah dengan penuh kesedaran perjuangan untuk bangsa ingin memastikan hasrat murni perjuangan BN & UMNO kembali ke landasan asal,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.