Modal Politik PH Berbelit, Tolak Bubar DUN Tapi MB/KM Jadi Calon Parlimen – Azley

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Azley Yahya menempelak Pakatan Harapan (PH) dengan sifat hipokrit dan prinsip mereka yang berubah-ubah berkenaan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya ini kerana, kepimpinan PH sebelum ini menolak untuk diadakan PRU15 kononnya mahu fokus menghadapi banjir di negeri-negeri bawah pentadbiran mereka namun kini sebaliknya berlaku.

“Saya nak tegaskan cukup-cukuplah modal politik lidah berbelit PH ni sepuluh dia cakap, sebelas tidak boleh dipercayai. Bila kita bubarkan Parlimen dan menasihati agar Menteri Besar dan Ketua Menteri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan perjalanan pilihan raya secara serentak, tiba-tiba PH cakap tak nak buat, sebab mahu fokus banjir katanya.

“Ini kelakar dan hipokrit. Kenapa saya kata begitu? Pertama, kelakar, sebab kita sangka kononnya kerajaan negeri pimpinan PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ni benar-benar nak fokus bantu banjir.

“Tiba-tiba, Selangor umum pembentangan Bajet Negeri 2022 yang patut dilaksanakan pada 28 Oktober ditangguhkan kepada hujung November. Tiba-tiba pula lagi, kesemua Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang umum akan bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15.

“Apa benda ni? Kata nak fokus banjir? Rupa-rupanya nak bertanding Parlimen dan jadi Menteri Besar pada masa yang sama,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Bagaimanapun jelas Azley sikap hipokrit PH itu sudah dapat dihidu ketika pergolakan politik di Melaka apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan adalah berpunca daripada parti itu kerana menerima kemasukan katak politik.

“Saya katakan PH ni hipokrit dengan alasan banjir sebab dia sendiri buat benda yang sama setahun yang lalu. Pada November 2021, PH menerima kemasukan katak politik, Datuk Seri Idris Haron yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Melaka sehingga perlu adanya PRN Negeri. Waktu itu pun musim tengkujuh juga, ada mereka cakap apa-apa?” soal beliau.

Dalam pada itu, beliau pada masa sama berkata PH sering menuduh UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai gila kuasa dan mengejar pangkat sedangkan apabila tewas pada PRU14 BN menghormati mandat rakyat dan berazam untuk menjadi pembangkang yang berwibawa serta membina kembali kekuatan parti untuk bangkit kembali.

Bagaimana katanya perkara paling penting ketika ini adalah BN mengembalikan mandat rakyat demi sebuah kestabilan, kemakmuran dan menjanjikan sebuah keabsahan kerajaan bagi meneruskan politik khidmat bakti kepada rakyat.

“Namun, apabila kerajaan PH tumbang, salah siapa? Siapa yang gila kuasa hendak jadi Perdana Menteri? Itulah dia Perikatan Nasional (PN). UMNO pada waktu itu konsisten dengan pendirian untuk mengembalikan mandat kepada rakyat melalui sebuah pilihan raya memandangkan keabsahan kerajaan yang baharu sudah menjadi pertikaian sama ada secara undang-undang arau moral.

“Mengambil kira situasi getir kesihatan awam dan ekonomi negara berikutan pandemik COVID-19 pada ketika itu, maka kita menghormati keputusan bahawa tidak sesuai Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan pada masa itu.

“Jadi bila BN membentuk kerajaan baharu selepas kerajaan PN tumbang, yang mana Perdana Menterinya dari UMNO, setelah kita berjaya mengawal COVID-19 sehingga membawa negara ke fasa peralihan endemik dan pembukaan serta pemulihan sektor ekonomi secara progresif.

“Kita yakin sudah tiba masanya untuk menghentikan segala polemik politik dan ketidak stabilkan ini dengan mengembalikan mandat kepada rakyat Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.