Tindakan Pakatan Jahat Tun Mahathir , Tommy Thomas Rendahkan Badan Kehakiman Negara

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin memohon kerajaan mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengikut lunas undang-undang.

Katanya tindakan ini hendaklah dilaksana segera bagi memastikan kesucian badan kehakiman terpelihara.

“Tindakan pakatan jahat Tun Mahathir dan Tommy Thomas untuk menentukan empat jawatan hakim tertinggi dalam negara tanpa mempedulikan saranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) merupakan tindakan yang merendahkan martabat suruhanjaya tersebut dan secara keseluruhannya badan kehakiman itu sendiri.

“Insiden serius ini mungkin ‘tips of the iceberg’ yang diakui sendiri oleh Tommy Thomas sebagai bekas peguam negara. Mungkin ada lagi ruang tiris yang telah berakar dalam badan kehakiman yang tidak didedahkan. Siasatan menyeluruh terhadap Tun Mahathir, Tommy Thomas dan badan kehakiman hendaklah dijalankan oleh kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan insiden ketirisan ini tidak berulang lagi.

“Lebih teruk lagi insiden ini juga turut menghakis kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman yang dipandang tinggi di Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya isu pelantikan hakim merupakan perkara yang sensitif dan hal ini dekat di hati rakyat. Jika isu ini tidak dikendalikan dengan baik maka ruang tiris ini akan mencalarkan imej badan kehakiman yang dijulang tinggi oleh rakyat.

“Insiden ini membuktikan runtuhnya prinsip pemisahan kuasa mengikut artikel 127 Perlembagaan Persekutuan yang memisahkan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman,” ujarnya.

Terdahulu pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy Thomas merumuskan bekas Peguam Negara itu mahu Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mahathir menurut arahannya dengan cara bertentangan undang-undang dalam soal pelantikan hakim utama negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.