PRU15: Rakyat Serik, Tidak Mahu Sejarah Pasca PRU14 Berlaku Kembali – Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain yakin dan percaya rakyat negeri itu akan memberikan ruang dan kepercayaan kepada parti terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti setelah melihat apa yang berlaku sejurus PRU14 yang lalu.

Katanya, pelbagai perkara yang berlaku setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih teraju kepimpinan negara dan Warisan yang mengambil alih teraju negeri Sabah telah menyebabkan rakyat membuat penilaian masing-masing iaitu perbezaan antara pemerintahan yang diterajui BN sebelum ini.

Jelas beliau lantaran itulah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 yang lalu, pengundi telah menolak PH termasuklah Warisan untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri Sabah yang baharu dan hari ini rata-rata masyarakat Sabah inginkan sebuah pemerintahan kerajaan pusat sepertimana sebelum PRU14.

“Program Jelajah Gelombang Biru yang meliputi Pantai Timur, Tawau, Kalabakan, Sandakan dan sebagainya lagi memperlihatkan sambutan yang amat memberangsangkan dan rata-rata penduduk setempat mengalu-alukan program berkenaan.

“Menerusi program ini, kita nampak rakyat datang berpusu-pusu sehinggakan boleh dianggap ‘pecah panggung’ dan umpama lautan manusia. Daripada sambutan berkenaan, kita nampak bahawa walau apa pun berlaku pada PRU lalu, rakyat masih mendampingi dan merindukan pemerintahan BN, maka sebab itulah mereka datang menyatakan sokongan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Bual Bicara PUMAS yang bertajuk Bicara Politik PRU-15: Sabah Tatap Radu pada Rabu.

Program tersebut dihoskan Datuk Abdul Sharif Abdul Hamid.

Abdul Aziz seterusnya menambah pemerintahan kerajaan BN sebelum ini bukan sahaja mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat malah turut mempunyai perancangan yang strategik serta berfokus.

Baginya kerajaan terdahulu sebelum PRU14 telah meletakkan asas dan perancangan yang terbaik untuk rakyat Sabah dengan segala aspek pembangunan dan pelaksanaan ke arah yang lebih baik menerusi konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Tentunya ketika pemerintahan BN dahulu kita mempunyai fokus yang utama dengan berteraskan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Jadi banyak transformasi-transformasi yang berlaku termasuklah projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyat dan sehinggakan di Sabah tercatat, kalau diukur GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar – KDNK) ekonomi yang tertinggi di seluruh negara.

“Ini zaman BN… jadi peluang-peluang pekerjaan pada ketika itu tidak ada masalah. ‘Buying power’ pun besar dan pekerjaan sentiasa ada… Pan Borneo sebagai contoh lagi banyak meningkatkan ekonomi setempat tetapi apabila Warisan dan PH mengambil alih tampuk pemerintahan, antara langkah yang diambil membatalkan banyak projek utama yang khusus kepada rakyat.

“Contoh Pan Borneo… kalau mengikut perancangan awal ianya akan siap pada tahun 2023 kalau tidak silap… apabila siap akan wujud jaringan jalan raya yang cukup baik, akan memudahan perjalanan dan lebih cepat dan inilah harapan kita sebenarnya apabila siapnya Pan Borneo ini.

“Malangnya apabila PH dan Warisan ambil alih pemerintahan mereka batalkan dan sehingga sekarang kita mempunyai masalah jalan raya gara-gara pembatalan sebelum ini yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.