Mengata UMNO/BN Tamak Kuasa… Belum Pun Tempoh Kempen Tapi Dah Pasang Khemah

PUTRAJAYA, 28 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 Nov dan tempoh berkempen hanya akan bermula selepas penamaan calon pada 5 Nov depan.

Namun demikian, difahamkan terdapat pemasangan khemah dari kalangan parti tertentu yang dibuat sehinggakan mengundang tindakan daripada Perbadanan Putrajaya dengan mengarahkan ia diturunkan segera.

Dalam hal ini, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya, Muhammad Harith Ahmad Shater memaklumkan bahawa laporan berkaitan pemasangan khemah untuk kempen calon Perikatan Nasional di Putrajaya, Datuk Radzi Jidin telah didirikan di PDM Rimba Desa Utara tanpa kelulusan dan permit.

“Paling mengata UMNO gila kuasa nak PRU. Tahu-tahu hari ini (semalam) Dr Radzi Jidin dah pasang khemah war room.

“Untuk makluman. UMNO/BN telah dapat kelulusan pun tapi kami tunggu hari penamaan calon dulu. Hormati proses bukan main langgar. Inilah DNA PH yang memang terkenal dengan pelanggaran undang-undang,” katanya kepada UMNO Online.

Berikutan laporan yang dibuat kepada Perbadanan Putrajaya, arahan segera telah dikeluarkan dan khemah terbabit telah diturunkan sebelum pukul 5.00 petang semalam.

Berkaitan hal terbabit, seorang penduduk tempatan, Saarah Ali Bashah turut menempelak tindakan PN yang dianggap tidak menunjukkan tauladan yang baik sedangkan calon terbabit adalah seorang menteri cabinet.

“Tak ikut undang-undang macam mana nak jadi pemerintah… dah jadi mcm lanun, ikut kepala sendiri. Tunjuklah contoh tauladan yang betul baru orang boleh ikut,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden PPBM telah mengumumkan Naib PresidenPPBM, Datuk Radzi Jidin sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Putrajaya disandang oleh Bendahari UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.