Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran: Parti Dan Kerajaan Berpisah Tiada

BERA, 27 Okt – Himpunan Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran penting bukan hanya untuk menghimpunkan ahli-ahli kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) tetapi juga untuk mewujudkan optik dalam kalangan rakyat bahawa parti dan kerajaan berpisah tiada.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, permuafakatan di antara parti komponen BN sangat penting bagi mempertahan serta merampas semula kerusi yang disandang oleh pihak lawan.

“Himpunan yang bertemakan ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’ ini bermula di Bagan Datuk dan berakhir di Bera. Ianya tidak akan berakhir setakat pada 19 November ini apabila kita meraih kemenangan mutlak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Himpunan ini penting bukan hanya untuk menghimpunkan kita sebagai ahli-ahli kepimpinan UMNO/BN tetapi mahu mewujudkan optik di kalangan rakyat bahawa parti dan kerajaan berpisah tiada. Ianya bergerak seiring dan sejalan.

“Permuafakatan di antara kita amat penting. Tiada kesepakatan maka mustahil untuk kita retain kerusi yang kita menangi. Mustahil untuk kita regain kerusi yang kita kecundang dan mustahil untuk merebut kerusi berpotensi untuk kita menang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Himpunan Kestabilan Dan Kemakmuran di sini, hari ini.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi BN itu turut mengakui bahawa kemenangan UMNO/BN pada PRU ke-15 akan ditentukan oleh pengundi atas pagar.

“Tidak ada gabungan lain yang mempunyai kerjasama kukuh seperti UMNO/BN. Kita tahu bahawa stok kemenangan kita adalah daripada ahli-ahli parti komponen kita.

“Harus diakui kemenangan UMNO/BN bukan hanya dapat digali dan digamit oleh pengundi putih. Tetapi jentera UMNO/BN mesti mencari undi bukan ahli, yang berdiri di atas pagar. Merekalah penentu kepada kemenangan kita,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO/BN perlu melupakan kesilapan mereka pada PRU ke-14 yang lalu sehingga menyebabkan rakyat termakan fitnah serta janji palsu Pakatan Harapan (PH).

“Kita lupakan kesilapan pada PRU ke-14 lalu apabila mereka termakan fitnah, janji palsu yang membawa kepada kerajaan gagal. Saya yakin mereka dapat melakukan perbandingan di situ.

“Kerajaan 22 bulan jelas tidak dapat menunaikan janji mereka, malah kerajaan 17 bulan juga tidak dapat memperbaiki kerosakan yang dilakukan sehingga mengisytiharkan darurat dan mengakibatkan rakyat semakin sengsara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO/BN akan mendapat majoriti dua pertiga seperti sebelum PRU ke-14.

“Selama 39 bulan rakyat seluruh negara amat sengsara namun alhamdulilah, Allah telah mentakdirkan kita menerima seorang Perdana Menteri daripada UMNO/BN untuk menyelamatkan negara ini.

“Tentunya dalam PRU ke-15 pada tanggal 19 November ini kita wajib bekerja keras untuk menentukan kejayaan kita.

“Tidak mustahil untuk kita mendapatkan semula kegemilangan seperti pada PRU ke-11 apabila UMNO/BN telah berjaya untuk menawan lebih daripada dua pertiga kerusi Parlimen,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.