PRU15: Dap Pulau Pinang Goyang, ‘U-Turn’ Isu Pembubaran DUN

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Kenyataan Dap Pulau Pinang untuk menyeragamkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan Pilihan Raya Umum (PRU) menunjukkan bahawa mereka ‘goyang’ dan takut kehilangan kuasa di negeri tersebut.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hilmi Elias berkata, meskipun pada awalnya Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah bersepakat untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri bawah pimpinan mereka, namun akhirnya Dap Pulau Pinang membuat kenyataan ‘u-turn’.

“Sebelum pembubaran parlimen dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Majlis Pimpinan PH telah mengeluarkan kenyataan bahawa negeri-negeri di bawah pimpinan mereka tidak akan membubarkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Tetapi kita dapat lihat dalam tempoh selepas pembubaran tersebut, Dap Pulau Pinang telah mengubah nada mereka. Mereka telah membuat keputusan untuk pilihan raya diadakan serentak dengan alasan kononnya tidak mahu membazirkan wang rakyat,” katanya semasa sesi wawancara bersama UMNO Online pada Selasa.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh itu turut berkata, Dap Pulau Pinang merasa terancam sekiranya mereka melaksanakan PRN secara berasingan, seluruh jentera UMNO/BN akan bekerja keras dan segala kerakusan mereka akan terbongkar.

“Tetapi daripada segi taktikal politiknya, kita dapat melihat Dap ini gusar sekiranya mereka melaksanakan pilihan raya secara berasingan, dia tahu seluruh jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) dari seluruh Malaysia akan datang ke negeri Pulau Pinang.

“…dan lopongnya, bagaimana rakusnya Dap Pulau Pinang ini, bagaimana kerosakan dibuat akan diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebab itu saya yakin, taktikal politik yang dibuat oleh Dap ini adalah disebabkan mereka sedar kalau diikut saranan Majlis Pimpinan PH, mereka dalam bahaya,” katanya lagi.

Menurut Mohd Hilmi, kesepakatan yang kukuh di antara UMNO/BN menjadi perbezaan utama parti ini dengan gabungan-gabungan lain.

“Itulah yang membezakan antara parti-parti politik di Malaysia ini antara UMNO/BN, PH dan parti-parti lain. Meskipun wujud perbezaan pandangan dan pendapat, tetapi kita boleh buat keputusan yang endingnya terbaik untuk rakyat dan juga parti.

“Tetapi kalau untuk PH ni, kita dapat lihat apa sahaja yang mereka lakukan adalah untuk survival politik mereka sendiri. Sebab itu kalau tengok hari ini, bagaimana Dap Pulau Pinang pada awalnya konsisten tetapi akhirnya mereka dapat lihat kalau diikut saranan ini, mereka dalam bahaya.

“Jadi, kalau kita tengok PKR dan Dap sendiri di Pulau Pinang, nampak nadanya tidak sama walaupun kerajaannya sama, tetapi berlaku sedikit pertikaian di situ,” katanya lagi.

Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan bahawa mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan bahawa tiga negeri yang ditadbir mereka iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan pada tahun ini.

Namun sebaliknya, Dap Pulau Pinang mula untuk membuat keputusan ‘u-turn’ apabila mahu menyeragamkan PRN dan PRU kerana bimbang dengan kedudukan mereka di negeri itu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.