PH Talam Dua Muka… Sebelum Ini Tolak PRU, Sekarang Sibuk Berkempen – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menempelak Pakatan Harapan (PH) yang kini sibuk berkempen sedangkan sebelum ini mereka juga menolak untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menyifatkan PH sebagai talam dua muka, Dr Najmil malah menyindir calon Perdana Menteri daripada gabungan itu yang juga dilihat sudah menjalankan strategi untuk memperdaya rakyat.

“Kata tak nak pilihan raya tapi sibuk berkempen siang malam… inilah contoh sebenar talam dua muka.

“Depan rakyat sibuk salahkan UMNO, konon UMNO tamak kuasa nak pilihan raya musim banjir, konon UMNO mahu bebaskan pemimpin yang ada kes mahkamah sekiranya menang.

“Sekarang ini PH dan sekutunya adalah parti paling galak berkempen, bakal PM tepi juga sibuk menabur janji bulan dan bintang untuk memperdaya rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata PH juga bijak berpura-pura mencipta persepsi namun pada masa sama sedaya upaya untuk mengambarkan bahawa parti mereka ini adalah bersih.

“Mesej yang dibawa PH semasa kempen hanyalah bersifat persepsi semata-mata, tak perlulah play victim sangat… konon parti kamu adalah bersih,” ujar beliau.

Dr Najmil bagaimanapun meluahkan simpati beliau dengan penyokong PH kerana terpedaya dengan janji manis sedangkan parti itu tidak kompeten dalam melaksanakan kerja-kerja tadbir urus negara.

“Setidak-tidaknya UMNO tidak pernah sesekali menggugurkan kes pemimpin. Kesian tengok penyokong PH ini… sudahlah parti tidak tahu mentadbir, jaga ekonomi pula gagal.

“Bila dapat kuasa, habis undang-undang negara dicabulnya… rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang cekap mentadbir dan stabil… bukannya hanya cakap kosong. Tiada janji, lihat pada bukti,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.