Potong Gaji Menteri… Rakyat Tertanya Apa Solusi Lain PH? – Shahril

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Sekiranya Pakatan Harapan (PH) beranggapan bahawa dengan memotong gaji menteri dapat menyelesaikan segala masalah dihadapi negara, itu adalah andaian yang silap, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Jelasnya, tawaran tersebut mungkin bagi menunjukkan solidariti pemimpin kepada rakyat tanpa membezakan golongan tertentu namun ianya bukanlah solusi kepada semua masalah yang dihadapi oleh negara.

“Sehari dua ini sudah mula ada tawaran daripada pihak lawan dan ianya adalah potong gaji menteri. Kalau mereka merasakan potong gaji menteri itu boleh selesaikan masalah, saya rasa silap dan tersasar.

“Memang daripada segi prinsipnya, saya ingat saya pun boleh pertimbangkan. Mungkin kita perlu menunjukkan solidariti kepada rakyat supaya tidak dilihat bahawa ada golongan-golongan ‘terkayangan’, yang mempunyai kuasa mendapat kelebihan dan sebagainya, saya faham perkara itu dan memang satu perkara yang UMNO/Barisan Nasional (BN) patut pertimbangkan juga.

“Tetapi soalnya untuk rakyat, adakah penyelesaian banyak masalah kepada yang PH katakan kita ada ini, solusinya adalah potong gaji menteri? Mesti lebih bijaksana dan lebih komprehensif daripada perkara tersebut dan itulah yang akan UMNO/BN bawa,” katanya semasa sesi wawancara bersama Astro Awani semalam.

Beliau yang juga mantan Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri itu turut berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul pada awal bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran sebenar tawaran UMNO/BN kepada rakyat.

“Bajet 2023 telah memberikan gambaran apa sebenarnya seorang Perdana Menteri serta Menteri Kewangan daripada UMNO/BN nak bawa dan semua perancangan tersebut allocated for yang bermakna sudah budgeted for.

“Jadi, apabila kita cakap contohnya kita nak beri geran kepada PMKS untuk membantu mereka merancakkan aktiviti yang tertekan sepanjang dua ke tiga tahun COVID ini, perancangan itu memang telah diperuntukkan.

“…ataupun kita hendak memberikan bantuan kewangan yang paling besar kepada B40 dan sebagian M40, itu pun sudah diperuntukkan. Bukan hanya sekadar cakap-cakap kosong,” katanya lagi.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi global, Shahril turut mengakui bahawa ianya satu cabaran yang perlu diuruskan dengan baik oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Bila bercakap tentang cabaran yang kita hadapi seperti inflasi, kejatuhan nilai matawang Ringgit dan sebagainya, itu memang kita akui cabaran yang memang perlu diuruskan dengan baik oleh kerajaan selepas ini.

“Dengan landskap politik yang baharu ini, UMNO/BN bersiap sedia dengan segala tawaran yang perlu kita sampaikan kepada rakyat dan meyakinkan mereka bahawasanya ini adalah masa untuk kembalikan mandat kepada UMNO/BN untuk menjaga masa depan kita lima tahun yang akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.