PH Kering Idea, Tiada Modal Guna Isu Lapuk Serang UMNO/BN – Hang Tuah

BAGAN DATUK, 25 Okt – Pakatan Harapan (PH) sudah kekeringan idea dan tidak ada modal apabila menggunakan isu-isu lapuk serta basi dan perkara yang sama diulang-ulang sedangkan rakyat sudah tahu tembelang mereka, demikian tegasnya Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din.

Ini kerana katanya pelbagai kerosakan telah dibuat oleh PH selama mereka memerintah negara ini iaitu 22 bulan selepas mendapat mandat dari rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita dapat lihat kerosakan negara akibat pemerintahan PH selepas PRU14, rakyat langsung tidak dipedulikan biarpun telah diberikan mandat kuasa tetapi malangnya mereka sendiri yang gagal untuk menggunakan kuasa itu bagi membela dan menjaga kebajikan rakyat.

“Penipuan, fitnah serta hasutan mereka telah pecah selama 22 bulan memerintah sebagai kerajaan pusat. Ianya tidak akan diterima lagi oleh rakyat termasuklah membangkitkan isu-isu basi yang sering digunakan oleh PH.

“Inilah kegagalan yang berlaku selama mereka memerintah dan ianya satu rahmat bagi UMNO/BN serta pengundi kerana boleh nilai rupa sebenar PH. Hanya BN yang layak mentadbir negara kerana mempunyai pengalaman yang cukup luas terutamanya menjaga rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Persoalannya, katanya, apakah akan terjadi sekiranya PH dapat memerintah kembali selepas PRU 15, maka sudah pasti negara ini akan huru-hara dan tidak akan stabil lagi?

Ujarnya, hanya BN yang mampu menjadikan negara ini dalam keadaan yang stabil dan makmur dengan rakyat akan mendapat pelbagai manfaat daripadanya.

Justeru Hang Tuah merasa yakin rakyat akan kembali menyokong BN setelah kecewa dengan pemerintahan lalu.

“Saya cukup yakin bahawa PRU15, rakyat akan kembali menyokong BN demi mahukan kestabilan dan kemakmuran negara. Hanya dengan kestabilan negara ini dapat bersaing dengan negara-negara lain.

“Rakyat dapat melihat apabila Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan Perdana Menteri, hanya beberapa bulan menjawat jawatan tersebut terlalu banyak kestabilan negara dibawa olehnya,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.