PH Dan PKR Perlu Henti Jadikan Kerusi Parlimen Alor Setar Buat ‘Nomad Politik’ – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR diminta untuk berhenti menjadikan kerusi Parlimen Alor Setar buat golongan ‘nomad politik’.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, PKR menjadikan kerusi parlimen tersebut sebagai kerusi ‘pelancongan’ ahli politik dengan menghantar orang dari luar kawasan sebagai calon.

“Seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering berpindah-randah kerusi parlimen, begitu juga dilakukan PKR terhadap kerusi Parlimen Alor Setar.

“PKR menjadikan kerusi Parlimen Alor Setar sebagai kerusi ‘pelancongan’ ahli politik mereka dengan menghantar orang dari luar kawasan sebagai calon,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut katanya, bekas Ahli Parlimen Alor Setar dari parti itu iaitu Chan Ming Kai yang mengumumkan bahawa beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut sebenarnya bukan anak jati tempatan.

“Bekas Ahli Parlimen Alor Setar dari PKR, Chan Ming Kai yang semalam umum tidak mempertahankan kerusi itu, bukan anak tempatan.

“Ming Kai yang membesar di Ipoh mula menjadi wakil rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai di Perak pada 2008 sebelum menjadi ADUN Indera Kayangan di Perlis pada 2013.

“Begitu juga Ahli Parlimen PKR sebelum ini, Gooi Hsiao Leung orang Pulau Pinang yang dibawa ke Parlimen Alor Setar,” katanya lagi.

Menurut Syed Mohd Johan, wakil-wakil PKR ini seolah-olah sebagai seorang ‘pelancong’ dan jelas menunjukkan bahawa PH tidak mengutamakan rakyat di kerusi yang diwakili mereka.

“Seolah wakil PKR ini ‘pelancong’ yang sering berpindah-randah sesuatu kawasan. Ini jelas bukti bahawa PH bukan mengutamakan rakyat di mana-mana kerusi yang diwakilinya.

“Ahli politik ‘nomad’ ini hanya memangsakan para pengundi kerana mereka ada kalanya sukar berada di kawasan terutama apabila waktu khidmat mereka sangat diperlukan.

“Akhirnya, rakyat Alor Setar tidak mendapat manfaat peranan wakil rakyat yang sewajarnya dan ketinggalan,” katanya lagi.

Beliau turut meminta PH khususnya PKR menjadikan kerusi Parlimen Alor Setar tempat ‘membuang’ calon daripada kawasan lain.

“Kepada PH terutamanya PKR berhentilah menjadikan Parlimen Alor Setar ini tempat meletakkan calon yang mahu dibuang dari kawasan lain. Parlimen Alor Setar sekolah dinilai sebagai ibarat ‘tong sampah’ pada mereka.

“Pengundi dan rakyat juga dalam edisi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini harus membuka mata memilih siapa yang berkhidmat dan siapa yang hanya setakat ‘tangkap muat’ memenuhi kerusi Ahli Parlimen.

“Saya mendapat maklumat, juga akan ada ‘pelancong politik’ baharu akan dibuang ke Alor Setar pada PRU ke-15 ini. Kita perlukan wakil dari orang tempatan yang mengenali sepenuhnya tentang Alor Setar dan menyeru pengundi Alor Setar untuk menolak mereka kali ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.