PH Perosak Sistem Keadilan Negara… Besar Bencana Sekiranya Mereka Kembali Memerintah – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Pendedahan Pasukan Khas Siasatan Tommy Thomas menjadi bukti bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah perosak sistem keadilan negara.

Ketua Pergerakan UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan tersebut merupakan bukti betapa besarnya bencana yang akan berlaku sekiranya mereka bersama bekas sekutu memerintah semula.

“Pendedahan Pasukan Khas Siasatan Tommy Thomas amatlah mengejutkan. Ini adalah bukti betapa besar bencana sekiranya membenarkan PH dan bekas sekutu mereka memerintah semula.

“Pendedahan paling besar adalah bagaimana Tommy Thomas didapati telah mengatur pelantikan hakim-hakim utama negara, termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada 2018 hingga 2019,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Asyraf, pelantikan tersebut bercanggah dengan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan campur tangan Tommy Thomas yang keterlaluan itu memberi imej buruk kepada sistem Kehakiman negara.

“Pelantikan hakim-hakim ini bercanggah dengan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sedangkan sebarang pelantikan Hakim hendaklah berdasarkan nasihat JAC sepertimana Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“Akta ini dibuat pada zaman Pak Lah bagi memastikan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kuasa penuh dalam pelantikan Hakim, sekaligus menaikkan imej kebebasan mahkamah.

“Campur tangan keterlaluan Tommy Thomas seperti dapatan Pasukan Petugas Khas ini boleh memberi imej buruk dan mengurangkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, terlalu banyak kes pendakwaan politik pada zaman beliau menjadi Peguam Negara, menjadi perbezaan besar antara pentadbiran UMNO/Barisan Nasional (BN) pasca Perdana Menteri ke-4 dan PH.

“Apatah lagi terlalu banyak kes pendakwaan politik pada zaman beliau menjadi Peguam Negara. Inilah beza besar antara pentadbiran UMNO/BN pasca Perdana Menteri ke-4 dan pentadbiran zaman PH.

“Usaha-usaha mentransformasi dan membersih imej kebebasan sistem keadilan telah berjaya dilaksana pada zaman kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Asyraf turut mengakui bahawa ini adalah salah satu sebab utama mengapa rakyat perlu menolak PH daripada memerintah negara semula.

“PH laksana diktator dengan melanggar undang-undang sedia ada demi menguasai setiap cabang pemerintahan termasuk sistem kehakiman kita.

“Inilah sebab besar untuk rakyat terus tolak PH dan bekas-bekas sekutu mereka. Tolak mereka demi negara,” katanya lagi.

Antara lapan isu utama yang boleh mengaitkan bekas peguam negara dengan pelbagai salah laku yang melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara adalah seperti berikut:

1. Penyalahgunaan kuasa dalam isu perlantikan hakim

2. Kebebasan badan kehakiman

3. Campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan

4. Pendakwaan terpilih dan bersifat politik

5. Perlanggaran sumpah kerahsiaan

6. Perlanggaran etika untuk melobi jawatan Peguam Negara

7. Penghinaan kepada Institusi Perundangan Negara

8. Akta hasutan kerana melakukan pelbagai dakwaan yang bersifat penghinaan ke atas bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak dan bekas Menteri Besar Datuk Harun Idris. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.