Guna Politik Untuk Kuatkan Agama, Bukan Guna Agama Untuk Kuatkan Politik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati Pas agar menggunakan agama untuk menguatkan politik, bukan sebaliknya.

Jelasnya, parti yang memandang rendah UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan menggelar mereka sebagai haiwan dan tumbuhan ini melenting apabila mendengar istilah ‘pak lebai’.

“Sendiri makan cili, sendiri terasa pedas. Bukankah istilah ‘pak lebai’ lebih harmoni berbanding gelaran ‘itik’ dan ‘durian’?

“Lagipun istilah ‘pak lebai’ dalam konteks politik bukan saya yang cipta, sebaliknya dipopularkan oleh sahabat baharu mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut menyingkap kembali sejarah istilah tersebut yang digunakan sejak tahun 2017 dahulu.

“Pada tahun 2017 ia mula dipopularkan oleh bekas Timbalan Presiden PKR merangkap bekas Menteri Besar Selangor.

“Beliau kini merupakan Pengarah Pilihan Raya gabungan Perikatan Nasional (PN) yang pemimpin Pas sedang tumpahkan taat setia,” katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid meminta pemimpin Pas untuk bertanya kepada individu tersebut mengenai istilah ‘pak lebai’ yang diciptanya.

“Jadi seharusnya pemimpin Pas bertanya kepada Pengarah Pilihan Raya gabungan baharu mereka mengenai istilah ‘pak lebai’.

“Bagaimana beliau memperoleh ilham tersebut dan mengapa beliau ‘menobatkan’ Pas sebagai parti ‘pak lebai’,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menasihati Pas agar jangan kerap melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif disebabkan mereka berasa terlalu suci murni.

“Kesimpulannya jangan kerap melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif kerana berasa diri terlalu suci murni sehinggakan UMNO/BN enggan memenuhi faedah dan manfaat mereka digelar sebagai haiwan dan seumpamanya.

“Sedangkan mereka sendiri tidak suka dikaitkan dengan sesuatu gelaran walaupun hanya ‘pak lebai’. Gunakan politik untuk memperkuatkan agama, bukan menggunakan agama untuk memperkuatkan politik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.