‘Tendang’ PH Supaya Tak Rosakkan Negara, PRU15 Bukan Lagi Masa Malaysia Bereksperimen – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukan lagi masa untuk Malaysia bereksperimen kerana ia sangat mustahak dalam menentukan masa depan tanah air dan masyarakatnya.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ketika ini Pakatan Harapan (PH) pujuk rakyat pilih mereka sebagai kerajaan semula pada PRU15 dan jika prestasi kerajaan PH `ke laut’ mereka bersedia ‘ditendang’ sekali lagi.

Soal Ahmad Zahid, apakah PH fikir begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan propaganda seperti ini selepas rakyat menyaksikan apa yang terjadi hanya dalam tempoh 22 bulan?

“Ingatlah sebilangan rakyat pernah bereksperimen pada PRU14. Natijah tersilap memilih kerajaan seperti yang berlaku pada 9 Mei 2018 adalah amat buruk.

“Kemorosotan ekonomi, kewangan negara kucar-kacir, ketidakstabilan politik, keharmonian hidup masyarakat terganggu, kebajikan rakyat dikurangkan.

“Aset-aset strategik negara `dilelong’ sewenang-wenang, projek-projek untuk rakyat difaraid oleh kroni, banyak perniagaan terpaksa gulung tikar. Sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Pentadbiran kerajaan PH lebih mengutamakan politik berbanding berkhidmat untuk rakyat,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Ratanya, rakyat tidak boleh megulangi kesilapan yang sama pada hari pengundian 19 November. Kerajaan BN yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil perlu dibentuk.

“Dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tahun depan oleh badan antarabangsa dan Malaysia akan turut berdepan tempiasnya.

“Usah memperjudikan masa depan negara dengan memilih PH hanya kerana kita mempunyai sentimen politik akibat terpengaruh dengan `bisikan’ pemimpin mereka.

“Insya-Allah kita yakin rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan dan propaganda PH yang bertujuan memanipulasi daya fikiran rakyat ini.”

Katanya, majoriti rakyat akan berlaku rasional dengan memilih kestabilan dan kemakmuran, bukan memilih kepentingan politik PH semasa membuat penentuan PRU15.

“Lebih baik kita ‘tendang’ mereka lebih awal supaya mereka tidak merosakkan negara dan kesejahteraan keharmonian hidup masyarakat sekali lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.