Rakyat Bakal Peroleh Manfaat Bajet 2023, Kembalikan BN Tadbir Kerajaan Pusat – Norsabrina

BANDAR BAHARU, 22 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berharap rakyat memberi kepercayaan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya ini kerana, Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen dilihat memberi signifikannya yang tersendiri kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Selepas bajet dibentang ianya tidak sempat dibahaskan sebab bubar tapi ini adalah langkah hebat daripada Perdana Menteri juga pemimpin UMNO/BN, ianya suatu langkah dan masa bersesuaian.

“Saya yakin bajet kali ini boleh dilaksanakan oleh kerajaan BN sekiranya mendapat mandat penuh untuk memimpin, terus menerajui kerajaan dan negara kita akan melaksanakan bajet yang menyeluruh kepada kesemua rakyat.

“Insya-Allah kita yakin dan percaya rakyat akan memilih BN dalam PRU15 ini untuk memastikan kerajaan dan pentadbiran lebih stabil dan makmur… hanya kita sahaja yang dapat melaksanakan bajet,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau juga pada masa sama menyifatkan pembangkang sengaja mencari helah serta alasan tentang pembubaran kerana bimbang berdepan PRU15.

Ujar beliau ini kerana pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) disifatkan terlalu selesa meskipun berada di blok berkenaan kerana memperoleh peruntukan yang sama seperti Ahli Parlimen kerajaan.

“Biasa la pembangkang ini cari helah, cerita kita ini salah dan buruk tapi sebenarnya mereka sudah selesa.

“Pembangkang pun dapat manfaat itu contohnya peruntukan Parlimen, pembangkang pun dapat seperti Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dapat RM3.8 juta berbanding ADUN yang buat kerja ni.

“Jadi mereka selesa sebab dapat faedah dan manfaat jadi sebab itu tidak mahu bubar kerana takut bila bubar itu tukar habis dan tidak akan dapat peluang lagi,” katanya.

Norsabrina juga pada masa sama berharap rakyat dapat mengambil iktibar dengan helah pembangkang terutama ketika menjelang PRU15 ini.

Katanya ini termasuk pengajaran daripada manifesto yang dicipta mereka pada PRU14 namun tidak mampu ditunai.

“PH memerintah adakah dia melaksanakan bajet demi rakyat? Tiada, hujung-hujung e-wallet RM30 sahaja… mana dia janji sebelum ini? Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dia tidak boleh buat seperti dijanjikan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.